KUALA LUMPUR- Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin bagi menghadiri prosiding pengurusan kes berkaitan saman fitnah RM150 juta yang difailkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kehadiran Dr Mahathir berusia 100 tahun menarik perhatian orang ramai yang berada di lobi mahkamah apabila beliau berjalan menuju ke tingkat atas kompleks itu.
Sejak jam 8 pagi, orang ramai mula berkumpul di pintu masuk utama mahkamah bagi menantikan ketibaan tokoh politik veteran itu.
BH melaporkan pintu masuk utama bagaimanapun ditutup kepada orang awam dan hanya individu yang mempunyai urusan mahkamah dibenarkan masuk.
Dr Mahathir dijadualkan menghadiri prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin.
Perbicaraan kes ini dijangka bermula esok.
Dalam saman berkenaan, Dr Mahathir mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersikap perkauman serta mengaut kekayaan untuk dirinya dan ahli keluarganya sepanjang 22 tahun menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat Anwar dalam ucapan pada Kongres Khas Nasional PKR yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 18 Mac 2023.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta dan ganti rugi am sebanyak RM50 juta, selain permohonan maaf bertulis dan satu sidang media khas daripada Anwar untuk memohon maaf atas kenyataan yang dibuat.
Anwar diwakili peguam Ranjit Singh.



