KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak menjadikan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai senjata politik untuk menikam orang lain.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan mempergunakan penderitaan keluarga mangsa demi kepentingan politik adalah perbuatan tidak berakhlak dan merosakkan kewarasan dalam masyarakat.
Beliau berkata, ini termasuk tindakan seorang pakar patologi yang memberikan gambaran palsu berhubung kematian pelajar itu dan menyebarkan di media sosial sehingga meracuni pemikiran jutaan orang.
“Kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar (ada salah laku) tak apa. Mana boleh kita mainkan kematian seseorang itu.
“Apatah lagi menipu dan menghasut begitu rupa. Tetapi demikian keadaannya. Dan sebab itu kita harus ada kewarasan. Kita dalam Islam ni kita sebut Tabayyun (meneliti dahulu sebelum menyebarkan),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya lapor Utusan pada Isnin.
Menurut Anwar, kerajaan telah mengambil serius beberapa kes buli membabitkan kanak-kanak, termasuk kematian Zara Qairina di Sabah dan Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman di Kelantan, selain isu buli yang berlaku di sekolah, universiti mahupun di tempat kerja.



