KUALA LUMPUR – Mahkamah Koroner hari ini menetapkan prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir bermula pada September.
Prosiding itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terbabit dalam kematiannya.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan hari ini.
Mahkamah menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Seramai 195 saksi dikenal pasti untuk inkues itu.
Pagi tadi, wakil media berhimpun di bangunan mahkamah sebelum prosiding bermula jam 9 pagi, malah anggota polis turut hadir bagi memantau keadaan serta memastikan ketenteraman di sekitar kawasan mahkamah, lapor BH di Kota Kinabalu pada Isnin.
Media semalam melaporkan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina,13, pada hari ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).
“Memandangkan kes ini adalah suatu kes yang berkepentingan awam, jabatan ini akan memohon permohonan kes ini dipercepat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan saja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” kata kenyataan itu.
Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu pada 12 Ogos.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.



