Tempoh Siasatan Rakaman Suara Kokpit Pesawat Terhempas Dijangka Seminggu – Pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tempoh siasatan rakaman suara kokpit (CVR) bagi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie (GCE) berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam dijangka mengambil selama seminggu jika tiada kerosakan dalaman pada kotak hitam pesawat itu, kata seorang pakar industri penerbangan.

Bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata peluang kerosakan terhadap kotak hitam pesawat adalah tipis kerana kotak itu dibuat khusus untuk menahan panas, api dan air.

“Ketika saya aktif dalam siasatan perakaman CVR (rakaman suara kokpit) tragedi MH17 yang mana pesawat itu jatuh 33,000 kaki dari paras bumi, jatuh terjunam… kami masih boleh muat turun CVR tersebut, ia sangat jelas,” katanya ketika ditemu bual pada program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Azharuddin, yang kini Ahli Lembaga Pengarah MYAirline, menjelaskan kotak hitam yang mempunyai rakaman suara kokpit dibalut dengan pelbagai jenis bahan agar luaran kotak itu mampu menahan impak kemalangan serta mampu melindungi cip yang berada di dalamnya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu berkata rakaman suara kokpit amat berguna kepada penyiasat untuk membuat analisis yang tepat berdasarkan rakaman selain menggunakan rakaman ‘dash cam’ (kamera papan pemuka) yang diserahkan kepada mereka.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan dua minit sebelum pendaratan dikatakan pusat kawasan udara kehilangan perhubungan dengan juruterbang dan mereka mendapati kepulan asap (dari lokasi kejadian) serta bila dipanggil, tiada yang menjawab dari pesawat.

“Dalam beberapa rakaman ‘dash cam’ menampakkan pesawat terjunam ke arah bumi dan ini memeningkan siasatan, jadi kita perlu melihat segala bukti yang didapati di tempat kejadian itu,” katanya.

Semalam, tragedi pesawat terhempas itu meragut 10 nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat