CYBERJAYA – FIFA menegaskan bahawa jadual Piala Dunia FIFA 2026 akan diteruskan seperti yang telah diumumkan sebelum ini, sekali gus menolak cadangan Iran untuk memindahkan perlawanan mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Dalam kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan semua pasukan bertanding termasuk Iran bagi memastikan perancangan berjalan lancar.
“FIFA menantikan semua pasukan bertanding mengikut jadual yang telah diumumkan pada 6 Disember 2025,” menurut badan itu.
Situasi menjadi tegang selepas tercetusnya konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran pada 28 Februari lalu, yang menimbulkan persoalan mengenai keselamatan penyertaan Iran dalam kejohanan tersebut.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini menyatakan Iran dialu-alukan untuk beraksi di negara itu, namun turut membayangkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Pasukan kebangsaan Iran bagaimanapun menegaskan bahawa tiada pihak boleh menghalang penyertaan mereka dalam Piala Dunia.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj pula menyatakan pihaknya sedang berbincang dengan FIFA bagi memindahkan perlawanan ke Mexico, selepas mendakwa jaminan keselamatan tidak dapat dipastikan.
Malah, Duta Iran ke Mexico turut mengkritik Washington atas isu berkaitan visa dan sokongan logistik kepada delegasi mereka.
Piala Dunia 2026 bakal mencipta sejarah sebagai edisi pertama yang dianjurkan di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Perlawanan pembukaan dijadual berlangsung pada 11 Jun melibatkan Afrika Selatan menentang Mexico.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menyatakan negaranya bersedia menjadi tuan rumah bagi perlawanan peringkat awal sekiranya diperlukan, namun keputusan akhir tetap terletak di tangan FIFA.
Iran sebelum ini menjadi pasukan kedua dari Asia yang layak ke kejohanan tersebut selepas Jepun.
Mengikut jadual semasa, Iran dijadual menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles, serta Mesir di Seattle.



