PN Desak Kerajaan Jelaskan Kehadiran Aset Tentera Laut AS Di Perairan Negara

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan terperinci berhubung kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat di perairan negara, yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata pihaknya menyambut baik pendirian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menegaskan Malaysia tidak akan terlibat dalam konflik antara kuasa besar.

Menurut beliau, pendirian tersebut selaras dengan prinsip berkecuali serta komitmen negara terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Namun begitu, PN menyatakan kebimbangan terhadap laporan media yang mendakwa terdapat kehadiran aset tentera laut AS di perairan Malaysia, khususnya di kawasan Pulau Pinang.

Aset yang dilaporkan termasuk kapal pemusnah periuk api atau mine countermeasure vessels (MCMV), yang lazim digunakan bagi mengesan serta meneutralkan ancaman periuk api di laluan maritim strategik.

PN turut mengaitkan kehadiran aset berkenaan dengan perkembangan geopolitik semasa, termasuk ketegangan melibatkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, khususnya di kawasan kritikal seperti Selat Hormuz.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan secara langsung atau tidak langsung dalam operasi ketenteraan yang berkaitan dengan konflik luar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Media PN DESAK PUTRAJAYA PERJELAS PERCANGGAHAN DASAR TIDAK CAMPUR TANGAN DENGAN KEHADIRAN ASET TENTERA LAUT AS DI PERAIRAN NEGARA

Tambah PN, situasi berkenaan berpotensi menjejaskan persepsi terhadap dasar tidak campur tangan Malaysia, selain boleh memberi kesan kepada keyakinan rakyat serta imej negara di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, PN mendesak kerajaan memberikan penjelasan yang jelas dan telus mengenai tujuan serta status kehadiran aset tersebut, termasuk sama ada ia hanya dalam transit atau terlibat dalam operasi tertentu.

“Kredibiliti Malaysia bergantung kepada keselarasan antara prinsip yang dipegang dengan pelaksanaan di lapangan,” kata kenyataan itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat