UMNO Bukan Kerajaan ‘Tebuk Atap’ Atau ‘Pintu Belakang’ : Zahid

KUALA LUMPUR – UMNO bukan kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’, tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya bukan UMNO yang tebuk atap, dan bukan UMNO juga yang buka pintu belakang malah kata Zahid sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada UMNO.

“Kita ada prinsip. Kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’. UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan. Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain.

“Rakyat bukan buta dan pekak, yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa,” kata Zahid ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di WTC pada Jumaat.

Zahid memetikucapan Perhimpunan Agung pada 7 Disember 2017, Presiden parti ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menekankan bahawa bukan budaya UMNO untuk merendah-rendahkan orang lain. Katanya: “UMNO dalam usia lebih 7 dekad makin matang dan mengamalkan politik sihat, serta cenderung kepada politik pemersatuan, yang tidak confrontational atau berwatak ‘kaki gaduh’, apatah lagi untuk mengaibkan, sampai sanggup membunuh karakter lawan.”

Jelas beliau, UMNO pelajari dan mengguna teknologi ini untuk menyanggah semua dakyah yang menjadi bahan dan umpat keji daripada pembenci menerusi BN Comms dan PUMAS yang berperanan sebagai senjata tempur siber parti.

Dalam perkembangan berbeza, Zahid menyebut, biarpun pemimpin utama kerajaan dari UMNO, namun hakikatnya UMNO bukan parti dominan.

“Dasar-dasar penting biarpun tidak disanggah secara terbuka, namun di belakang suara-suara sumbang sering kedengaran. Malah terdapat arahan-arahan dan minit-minit tertentu untuk kepentingan rakyat tidak pun diendahkan.

“Terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan. Longkang-longkang yang tersumbat mesti dibersihkan dari sampah sarap,” sindir beliau.

Menurutnya, paluan gendang perang menghadapi PRU-15 kian kuat bergema. Namun, antara wasilah baharu dalam komunikasi politik adalah melalui ‘influencer media sosial’.

“Saya percaya, Pemuda dan Puteri berpotensi tinggi untuk memainkan peranan ini bagi menarik anak muda mendukung aspirasi perjuangan UMNO. Jadikan media sosial sebagai platform mendekati anak muda. Hasilkan seberapa banyak ‘content’ TikTok, Youtube dan Instagram yang ‘power’, ‘simple’ dan ‘viral’ khususnya berkaitan undi-18 dan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi dan mencorak pola fikir anak muda. Jadilah content provider yang cemerlang. Kempen secara maya bukan lagi sampingan tetapi ia sudah menjadi medan komunikasi paling utama.

“Sungguhpun UMNO kerap dijadikan sasaran dan tuduhan yang menyatakan bahawa orang muda tidak lagi bersama UMNO, kita sudah buktikan sebaliknya di Melaka dan Johor.

“Tidak boleh tidak, jika mahu kekal relevan, UMNO perlu menuruti derasnya arus perubahan fikiran golongan muda ini. Pelaksanaan undi-18 adalah manifestasi besar perubahan dalam landskap politik negara, yang mana ia menuntut usaha keras UMNO untuk memenangi hati mereka, dan menawarkan solusi kepada permasalahan dan cabaran yang sedang mereka hadapi

“Satu kajian menunjukkan, 64.5 peratus golongan muda kurang berminat dengan politik, dan cenderung menjadi pengundi non-partisan. Mereka beranggapan, politik negara kini penuh dengan ‘drama’ dan adegan rebut kuasa, namun mereka tetap mengikuti perkembangannya di laman media sosial.

“Pola fikiran mereka dibentuk melalui apa yang dipaparkan di media sosial. Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO sewajarnya menangani persoalan ini. Wujudkanlah budaya prihatin politik, demi menarik anak muda menghampiri UMNO,” seru Zahid.