KUALA LUMPUR- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka malah ‘mengalu-alukan’ pencabar yang ingin merebut jawatan tertinggi dalam parti termasuk jawatan Presiden UMNO yang dipegangnya sejak 2018.

Kata Zahid beliau menghormati saranan sebilangan kecil yang mahukan pemilihan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU)

Pun begitu ujar beliau, ini sekadar cadangan yang melambangkan wujudnya demokrasi dalam parti.

“Kita percaya mereka tiada sebarang motif. Jika sesuatu mesyuarat semuanya dianggotai oleh ‘yes man’, tak perlulah bermesyuarat.

“Kita sudah tetapkan mengikut persetujuan Pendaftar Pertubuhan bahawa pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini, atau secara tepatnya sebelum 29 Disember 2022.

“Siapa pun boleh bertanding, termasuklah jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan seterusnya.

“Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai, harap-harapnya pasangan-pasangan tu kekal la,” pelawa Zahid dalam ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO di WTC pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa syukur kerana diberikan peluang memimpin parti dan mempertahankannya daripada pelbagai serangan, termasuklah percubaan untuk melumpuhkannya.