JOHOR – Inisiatif Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Parit Sulung iaitu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang juga Menteri Pengajian Tinggi wajar diberikan pujian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SULUNG akan memfokuskan terhadap usaha untuk membantu pelajar B40 yang ahli keluarga mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

“Program ini adalah unik kerana mereka bukan sahaja akan dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama, dan diberikan mentoring, sehinggalah mereka berjaya mendapat pekerjaan.

“Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik, kelak akan membawa anak-anak ini keluar dari kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian,” katanya semasa Karnival KPT Keluarga Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara, Batu Pahat, Johor hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyeru agar badan-badan korporat bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program SULUNG ini.

“Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti setempat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan dalam konteks pengajian tinggi nilai ini diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk inisiatif.

Selain itu katanya ini bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan keluarga B40.

“Selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

“Ia dapat dilihat daripada pelbagai bantuan yang diberikan Ia diterjemahkan seperti bantuan kewangan, bantuan pelan data dan peranti, pengurangan yuran, dan bantuan makanan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya lagi, bukan sahaja bantuan seperti kewangan, pelan data dan pengurangan yuran, malah kerajaan turut membantu memastikan para pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti.

“Di bawah KPT misalnya, kita ada program peningkatan kerjaya seperti PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE, dan GetHired@KPT.

“KPT turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO melaksanakan program MYFutureJobs,” katanya.

Ismail sabri berkata, apa yang pasti program-program ini adalah berbentuk touch point dan bertujuan untuk menyantuni keperluan denyut nadi rakyat.

“Seperti program MYFutureJobs. Berdasarkan rekod yang kita ada, sebanyak 63,990 jawatan kosong di negeri Johor ditawarkan melalui Portal MYFutureJobs.

“Untuk tempoh karnival ini sahaja, saya difahamkan lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan,” katanya.