KUALA LUMPUR – Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi MUDA-PKR, maka pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini,” kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-PKR tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq memaklumkan, MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor dan Malaysia.

Ujarnya Ahli Parlimen Muar itu, Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.

“MUDA telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama MUDA adalah membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor.

“Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan AMANAH, MUDA telah berjaya mengelakkan
sebarang pertindihan kerusi,” katanya.

Ulas Syed Saddiq lagi, MUDA juga telah mengadakan siri-siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR – namun PKR telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calon PKR di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

“Meskipun begitu, MUDA telah menyampaikan niat dan hasrat MUDA untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR kepada rakan DAP dan AMANAH.

“MUDA juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR,” jelasnya.

Pada 27 Januari lalu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu memberitahu, mengenai kerusi yang akan ditandingi PH pada PRN Johor, 20 kerusi PKR dan AMANAH membabitkan kawasan campuran serta majoriti kaum.

DAP pula bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum.