KUALA LUMPUR – Kebersamaan Bersatu dalam kerjasama bersama UMNO dan PAS bukan demi penyatuan ummah tetapi demi kepentingan diri dan demi hayat politik mereka sahaja,” dakwa Datuk Seri Najib Razak.

Kata Najib propaganda yang sering diulang Bersatu kononnya mahu bersama UMNO dan PAS demi penyatuan ummah.

“Ini adalah salah,” tegas Najib.

Selepas langkah Sheraton katanya, beliau pernah menulis bahawa sebab dan niat utama Bersatu khianat PH ialah kerana mereka takut lenyap pada PRU-15 dan UMNO akan buat kepada pemimpin-pemimpin Bersatu apa yang Bersatu buat pada UMNO semasa mereka dalam kerajaan PH.

“Perkara ini sebenarnya telah disahkan Muhyiddin sendiri dalam satu ceramah pada PRN Melaka,” kata beliau.

Najib memetik kata-kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah tersebut: “Saya beritahu Tun Dr Mahathir, kalau kita duduk lama lagi di sini Tun (Mahathir), dalam pilihan raya umum akan datang ini kita akan hilang daripada peta, sejarah politik tanah air.

“Pilihan raya (kecil) demi pilihan raya kecil kita (Bersatu) kalah dan antara sebab kekalahan itu adalah orang Melayu melihat Bersatu bergabung dengan kumpulan sebegini, maka tentu pada pandangan masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu ini tidak selarui dengan perjuangan kita,” kata Muhyiddin dipetik Najib.

Tambah beliau lagi maka selepas PRK Tanjung Piai di mana Bersatu kalah amat teruk kepada calon MCA yang disokong MN, mereka pun mulakan langkah untuk minta sokongan UMNO dan PAS demi memelihara kepentingan diri.

“Bukan demi penyatuan ummah tetapi demi kepentingan diri dan demi hayat politik mereka sahaja.

“Sebab itu dari awal-awal lagi semasa langkah Sheraton, Abah Kau dah rancang “scheme of things” untuk pecahkan UMNO dengan cara sogokan yang turut memberi kesan amat parah kepada Muafakat Nasional,” ujarnya.