Strategi Serampang Tiga Mata Urus Hutang Negara Kini Cecah RM1.5 Trilion – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendekatan strategi serampang tiga mata bakal diambil untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dalam menangani hutang negara serta liabiliti yang kini mencecah RM1.5 trilion.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ada beberapa strategi yang boleh diambil Kerajaan seperti yang disebutnya pada minggu pertama beliau menerajui Kementeriannya.

Pendekatan jangka pendek yang boleh diambil segera adalah dengan mendapatkan nilai terbaik bagi setiap perbelanjaan Kerajaan.

“Kita boleh memastikan penyampaian projek dan kecekapan kos setiap projek Kerajaan dapat dimaksimumkan.

“Itu caranya untuk menjimatkan wang dengan memastikan ketirisan dapat dihentikan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Media Prima Berhad diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, petang semalam di pejabatnya di Putrajaya.

Yang turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan, NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan Azlan Abdul Aziz.

Rafizi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri ada menyebut bahawa beliau berpendapat sekurang-kurangnya sejumlah RM10 bilion boleh diperoleh segera daripada sistem sedia ada dengan menghentikan ketirisan.

Dengan memperuntukkan semula serta memberi keutamaan dalam perbelanjaan negara, ia mampu memperkukuhkan kedudukan fiskal.

Namun, beliau berkata, pendekatan itu saja tidak mencukupi, justeru perlu ada perluasan untuk pungutan hasil negara.

“Ada beberapa pertimbangan dan keputusan dasar yang perlu kita ambil tetapi saya berpendapat ia memerlukan tempoh masa sedikit lama untuk dilihat kerana impaknya lebih besar.

“Ia membabitkan keseimbangan pertumbuhan dengan melindungi sektor sewajarnya dengan memastikan apa yang kita akan lakukan tidak memperlahankan pertumbuhan yang disasarkan,” katanya lapor Berita Harian.

Rafizi berkata, strategi ketiga yang boleh diambil adalah dengan segera menstruktur semula ekonomi negara. Ada keperluan mendesak untuk menaik taraf ekonomi negara bagi membolehkan Malaysia meningkatkan perkhidmatan dan syarikat bernilai tinggi.

“Apabila pendapatan rakyat meningkat, ia juga menyumbang kepada hasil negara. Sudah jelas apa yang perlu dilakukan namun ia harus dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi berharap seluruh negara memahami bahawa untuk tempoh satu dua tahun ini, kedudukan fiskal perlu diperkukuhkan.

Untuk itu, kerajaan perlu melakukan beberapa perkara bagi membetulkan kedudukan negara dengan segera.

Rafizi berpendapat, selepas satu atau dua tahun, apabila kedudukan fiskal semakin kukuh, ada laba ekonomi kepada negara yang akan dirasai oleh rakyat dalam tempoh dua tau tiga tahun mendatang.

“Konsepnya samalah kalau demam kena ambil Panadol (ubat). Awal-awal tu ada orang mungkin tak suka Panadol, mungkin tak suka ubat tapi kena ambil ubat dahulu kan.

“Tapi ia (hutang negara) bukanlah sesuatu yang berada dalam keadaan yang berbentuk krisis yang perlu panik ataupun kerajaan berada dalam keadaan yang begitu terdesak.

“Kita masih ada ruang itu cuma sama macam dengan demam, kalau demam buat-buat tak faham ubat, tak ambil kira tak berehat kita tak ambil ubat beberapa perkara ia akan jadi semakin teruk,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, landasan pengurusan kewangan negara perlu diubah sekarang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat