PM UMUM PAKEJ PERLINDUNGAN EKONOMI DAN RAKYAT BERJUMLAH RM15 BILION

- Advertisement -

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) berjumlah RM15 bilion, sebentar tadi.

Ketika mengumumkan melalui perutusan khas Perdana Menteri, beliau berkata inisiatif baharu ini adalah menambah baik inisiatif yang telah ada. Menurutnya lagi, terdapat 22 inisiatif di bawah Pakej PERMAI iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Secara amnya, pakej bantuan PERMAI menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Muhyiddin berkata di bawah matlamat memerangi wabak COVID-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.

Perdana menteri berkata penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada bekalan, antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutamanya kepada petugas kesihatan.

Di bawah matlamat ini juga, beliau berkata perancangan program vaksinasi negara adalah ‘on-track’ dengan kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada penghujung Februari.

“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama melibatkan dana sebanyak RM3 bilion untuk tujuan ini,” katanya.

Muhyiddin menegaskan garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan dan program vaksinasi tersebut dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

“Ini bermakna, kumpulan pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac dan dapat meliputi lebih 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama 2022,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata bagi inisiatif Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara, kerajaan akan menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang akan mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta.

“Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

“Saya memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu,” katanya.

Perdana menteri berkata seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian ‘one-off’ atau sekali sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.

Sementara bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir, kata Muhyiddin.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat