UMNO Bergelut Di Dalam, Mahu Segerakan PRU15 : Laporan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO kini dilaporkan sedang bergolak apabila muncul kumpulan dalam parti itu mahu Parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Baru saja UMNO kembali ke tampuk kuasa kira-kira empat bulan namun, menurut laporan Malaysiakini menemu bual beberapa sumber perpecahan di kalangan kumpulan yang bersaing sesama sendiri itu berlaku sekali lagi pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 8 Disember lalu.

Garis pertembungan itu sama seperti awal tahun ini apabila kepimpinan UMNO berpecah kepada dua kumpulan iaitu antara yang mahu mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ketika itu dan mereka yang berhasrat untuk menyingkirkannya.

Kali ini, kata sumber, mereka yang sebelum ini mahu mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mahu penggantinya sekarang yang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkuasa sehingga penggal Parlimen berakhir.

Menurut sumber, ketegangan dalam kepimpinan UMNO mendorong sekumpulan Ahli Parlimen, diketuai Ahli Parlimen Pasir Salak dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mengadakan sidang media baru-baru ini untuk menyatakan sokongan mereka kepada Ismail.

Kumpulan ahli Parlimen ini, yang mendakwa mewakili kelab penyokong kerajaan berkata Ismail perlu terus mentadbir negara bagi memastikan kesinambungan rancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi.

“Kami memberi kepercayaan yang tinggi kepada Perdana Menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi sangat baik dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) bersama ahli Kabinet yang mempunyai mazhab (fahaman politik) berlainan telah dapat membuktikan kejayaan mereka dalam menangani wabak COVID-19 negara sehingga angka statistik menurun,” katanya pada sidang media di Parlimen baru-baru ini.

Sumber daripada beberapa kumpulan dalam UMNO memberikan tafsiran berbeza mengenai apa yang mendorong kumpulan ahli Parlimen itu berbuat demikian.

Bagaimanapun, mereka mengakui dakwaan bahawa sesetengah pihak dalam UMNO mendesak Ismail untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

“Kita nak PRU segera saja, bukan tukar PM,” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan tertinggi UMNO.

Seorang ahli Majlis Tertinggi parti itu, yang tidak mahu namanya didedahkan mengesahkan cadangan itu dikemukakan semasa mesyuarat awal bulan ini.

Pemimpin berkenaan bagaimanapun menyangkal perkara itu, dengan mengatakan bahawa ia hanya merupakan satu cadangan.

“Ia hanya idea yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu. Tiada perbincangan mengenainya. Tak ada keputusan,” dakwanya.

Penggal Parlimen ke-14 akan berakhir pada Jun 2023. Dengan berbaki 17 bulan lagi, Ismail mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan sebelum mendapatkan mandat baru.

Sejak tewas dalam pilihan raya umum 2018, UMNO mengukuhkan penguasaan dengan pantas apabila memperoleh semula jawatan Perdana Menteri dan mengambil alih semula kerajaan negeri di Perak, Johor dan terbaru Melaka.

Ada pihak dalam UMNO yang percaya parti itu kini mempunyai momentum untuk mengadakan pemilihan baru bagi memperoleh mandat yang jelas, dan bukannya membenarkan Ismail menjadi Perdana Menteri dengan majoriti tipis yang bergantung kepada perjanjian kepercayaan dan perbekalan dengan pembangkang.

“Ekonomi banyak masalah. Kerajaan juga tidak stabil. Bajet 2022 pun dah lepas, buat PRU sajalah” kata sumber yang rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber ini percaya mereka yang menentang idea pilihan raya mengejut adalah mereka yang mahu menunggu sehingga UMNO mengadakan pemilihan tahun depan.

“Semua ni dah tau dia orang dah jadi dinosaur dalam politik. Diorang tengah takut Zahid tak cadangkan dia orang, seperti apa berlaku di Melaka, takut parti tak cadangkan dalam PRU akan datang. Bayangkan daripada semua ketua bahagian, hanya dua dicalonkan di Melaka.

“Jadi, mereka mahu mendesak Ismail menjadi presiden parti. Sebab itu tiba-tiba kumpulan itu mengadakan sidang media untuk menunjukkan sokongan mereka. Mereka ini juga dalam UMNO yang mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu,” dakwanya.

Gesaan supaya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat sebelum ini disuarakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sehari selepas Umno memenangi pilihan raya Melaka.

Beberapa sumber UMNO lain yang tidak bersetuju pilihan raya awal diadakan mendakwa kumpulan yang mahu mengadakan pilihan raya tidak mengutamakan kepentingan parti, sebaliknya kepentingan mereka sendiri.

“Kenapa kamu fikir mereka mahu adakan pilihan raya awal? Lihat kes (mahkamah) siapa yang akan datang,” kata seorang pemimpin parti itu memetik portal itu.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 24 Jan tahun depan sama ada akan membebaskan atau memerintahkan Zahid membela diri atas pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram.

Tahun depan juga akan menyaksikan bekas presiden Umno, Najib Razak juga menghadapi dua perbicaraan berkaitan 1MDB.

Satu lagi sumber yang tidak sehaluan dengan mana-mana kumpulan berharap kedua-dua kem dalam parti itu tidak mempamerkan perpecahan terbuka seperti yang dilihat awal tahun ini.

“Perpecahan parti tidak akan menguntungkan sesiapa pun. Jika kedua-dua kumpulan dapat mencapai persefahaman untuk mengelakkan perpecahan terbuka, itulah yang terbaik.

“Saya tidak fikir kita perlu melalui satu lagi tempoh menggelar sesama sendiri sebagai pengkhianat dan perlu kekalkan kredibiliti di mata pengundi,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat