Kerajaan lulus 5,397 permohonan pinjaman bernilai RM1.072 bilion sehingga 4 Dis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan 5,397 permohonan pinjaman daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM1.072 bilion untuk membantu perniagaan di bawah Skim Pembiayaan PKS PENJANA sehingga 4 Dis, 2020.

Jumlah ini lebih tinggi daripada 5,301 permohonan pinjaman bernilai RM1.085 bilion yang diluluskan minggu lepas.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan turut menerima 519 permohonan daripada PKS untuk Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, dan daripada jumlah itu sebanyak 236 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM47.6 juta.

“Dengan pembukaan semula sempadan antara negeri, kemudahan ini dijangka dapat membantu PKS yang memerlukan suntikan dana dalam masa terdekat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam laporan LAKSANA ke-33 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), katanya sebanyak RM253.1 juta telah disalurkan untuk memberi manfaat kepada 7,252 PKS mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan sehingga 4 Dis.

Beliau berkata bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan, sebanyak RM57 juta telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank kepada 5,796 PKS mikro pertanian.

Bagi memastikan sektor pelancongan dan perhotelan kembali pulih daripada COVID-19, kerajaan bersetuju memberikan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

“Sehingga 4 Dis, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM836.6 juta.

“Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya. Kedua-dua inisiatif ini akan tamat pada 31 Jun 2021,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi merangsang pertumbuhan sektor komoditi dan nilai eksport negara, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian duit eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit.

Katanya antara manfaat daripada langkah cukai ini secara langsung akan dapat membantu memudahkan pekebun kecil untuk menjual hasil keluaran mereka kepada kilang-kilang.

“Setakat 4 Disember, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara ialah sebanyak RM373 juta (peningkatan daripada RM325 juta minggu lalu),” katanya.

Bagi Program Subsidi Upah, katanya sebanyak RM12.55 bilion telah dibelanjakan sehingga 4 Dis, 2020 untuk membantu 322,177 majikan meneruskan perniagaan dan mengekalkan sejumlah 2.64 juta pekerja.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat