KOTA KINABALU, – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan sebagai satu detik bersejarah dan kemenangan besar untuk rakyat negeri itu.
Dalam kenyataannya bertajuk A Landmark Decision for Sabah, beliau mengucapkan tahniah kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan mereka dalam kes berkenaan yang berpaksikan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan itu bukan sahaja memberi impak besar kepada bidang perundangan, tetapi juga kepada setiap rakyat Sabah yang percaya kepada keadilan, perkongsian setara dan penghormatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Salleh menegaskan bahawa keputusan tersebut memperkukuh hak Sabah yang bukan sekadar janji politik, sebaliknya merupakan jaminan perlembagaan yang wajib dihormati dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, ketelusan serta kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Beliau turut berharap keputusan itu membuka lembaran baharu hubungan antara Sabah dan Putrajaya yang berteraskan semangat saling menghormati serta dialog membina sebagaimana roh asal penubuhan Persekutuan Malaysia.
“Ini lebih daripada sekadar keputusan mahkamah, ia adalah peringatan bahawa keadilan dan kejujuran mesti sentiasa menjadi asas kepada negara kita,” katanya. – SuaraTV



