Menteri Pendidikan mesti bertanggungjawab bukan pegawai, bukan guru – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR -Seorang Menteri Pendidikan mesti mendengar terus pandangan lapangan, meneliti laporan dengan jujur, dan memahami realiti guru-guru yang menanggung tekanan setiap hari.

Menteri Pendidikan sepatutnya mempertahankan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan, bukan melemahkan demi kelangsungan politik.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, isu keselamatan dan kesejahteraan pelajar kembali menjadi perhatian umum dan ibu bapa di seluruh negara gusar bukan hanya kerana insiden buli atau jenayah di sekolah, tetapi kerana persoalan yang lebih mendasar: apa yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita?

Sudah tiba masanya kita membina semula ekosistem pendidikan yang berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar, dan nilai kemanusiaan, sarannya.

“Akhirnya, menteri mesti bertanggungjawab bukan pegawai, bukan guru.

“Akauntabiliti tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, mengumumkan pelan atau slogan baharu secara tergesa-gesa hanya menampakkan kita belum memahami akar krisis ini. Masalah sebenar bukan sekadar kekurangan dasar atau pekeliling, tetapi budaya dan sistem yang gagal menyokong guru serta pelajar.

“Apabila Ketua Pengarah Pendidikan sendiri mengaku ada kes “disapu bawah karpet”, itu bukan isu komunikasi ia tanda bahawa sistem pentadbiran gagal memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa takut,” tegur beliau.

Nik Nazmi mengingatkan, sekolah dengan kadar disiplin tinggi tidak wajar dilabel sebagai “bermasalah”.

“Mereka perlu diberi sokongan tambahan sumber, tenaga dan bimbingan untuk memulihkan pelajar. Malangnya, amaran seperti kadar keciciran meningkat dan ketidakhadiran peperiksaan sering diabaikan sehingga tragedi berlaku.

“Pendekatan lima perkara yang diumumkan kementerian hanya menyentuh simptom, bukan akar masalah.

“Guru kini terbeban bukan kerana kurang dedikasi, tetapi kerana sistem yang menuntut terlalu banyak laporan dan terlalu sedikit kepercayaan. Bila wujud krisis disiplin, kesihatan mental atau keselamatan, mereka tersepit antara tanggungjawab melapor dan keinginan melindungi.

“Kita juga mesti mengakui bahawa sekolah ialah cerminan masyarakat. Pendidikan moral, agama dan sivik yang diajar belum cukup membina budaya saling menghormati dan empati,” ujar Nik Nazmi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat