Hak-Hak Sabah Dan Sarawak Tetap Akan Terpelihara -PM

- Advertisement -

SIBU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah terpelihara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya mesyuarat jemaah menteri pada 9 Sept lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan turut akan dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah serta Sarawak, manakala menteri-menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

“Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), keselamatan negeri dan pendidikan.

“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2020, di Stadium Tertutup Sibu, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dengan usaha terbaharu merupakan pelan infrastrukur digital iaitu Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan tiada warganegara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan…termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperoleh akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.

“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara termasuk melaksanakan Op Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom),” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus sehingga lapan peratus yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global dan domestik secara berterusan.

Katanya, keyakinan ini adalah berteraskan kepada inisiatif yang telah diambil selepas Bank Negara menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar negatif 3.4 hingga negatif 5.5 peratus berikutan impak COVID-19 yang turut melanda ekonomi di seluruh dunia.

“Saya yakin usaha pemulihan ekonomi akan dipertingkatkan melalui Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada November nanti, Insya-Allah,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat