KUALA LUMPUR – Demonstrasi “Turun Anwar” pada 26 Julai ini dijangka sekadar menunjukkan kekuatan Pas namun tidaklah memberi kesan kepada objektif.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mencadangkan matlamat “Turun Anwar” yang sebenar hanya akan dicapai jika Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan rakan-rakan wakil rakyatnya tarik sokong terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
“Pas menjangkakan 300 ribu orang akan menghadiri demonstrasi “Turun Anwar” pada 26 Julai ini. Saya yakin ia boleh dicapai kerana demonstrasi umpama “candu” kepada orang Pas. Mereka suka berdemonstrasi.
“Lagi pun ahli Pas fanatik dan taksub kepada arahan parti. Setakat 300 ribu hanyalah “kacang” kepada Pas. Tetapi apakah objektif “Turun Anwar” boleh tercapai? Sudah tentu tidak.
“Adalah lebih berkesan jika Rafizi dan geng 10 tarik sokongan terhadap Anwar. Impaknya lebih besar jika mereka bawa usul undi percaya di Parlimen berbanding demonstrasi 300 ribu orang ahli Pas,” tegas Puad.
Dakwa beliau lagi, Pas sudah pasti tidak berani bawa usul undi tidak percaya atau percaya di Parlimen.
“Umno sudah pasti tidak akan menyokongnya. Umno komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi rakyat dan kestabilan negara.
“Justeru demonstrasi “Turun Anwar” 26 Julai ini hanya tunjuk kekuatan Pas. Impaknya kecil apatah lagi jika tiada penyertaan “civil society” yang menyeluruh,” kata Speaker DUN Johor itu.



