Proses lantik hakim mesti dilaksana berhati-hati, Sultan Selangor desak henti spekulasi negatif tanpa fakta

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Titah baginda, proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.

Sehubungan dengan itu Sultan Sharafuddin mengingatkan, semua pihak diseru supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.

“Mesyuarat ”pre-council” Majlis Raja-Raja telah diadakan pada 15 Julai 2025 diikuti dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 yang telah bersidang pada 16 Julai 2025.

“Beta telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan pada kali ini. Alhamdullilah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

“Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan,” titah baginda dalam kenyataan pada Khamis.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat