‘Usah ulangi kesilapan lalu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu agihan royalti penggiat seni muzik yang hangat diperkatakan tahun lalu, timbul semula apabila sembilan persatuan mewakili pelbagai sektor antaranya perhotelan, gedung beli-belah dan peruncitan, merayu kerajaan menubuhkan semula badan pelesenan tunggal melaksanakan tugas itu.

Berikutan itu, tiga badan pelesenan muzik iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad; Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad dan Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd membantah cadangan kumpulan terbabit atas alasan kegagalan mekanisme lalu.

MACP, RPM dan PPM dalam kenyataan bersama menolak idea sembilan persatuan terbabit yang memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mewujudkan entiti tunggal yang didakwa rasional, efisien dan praktikal bagi menguruskan kutipan royalti selepas pembubaran Konsortium Music Rights Malaysia (MRM), tahun lalu.

“Kami merujuk kepada surat dikeluarkan sekumpulan persatuan seperti Malaysia Retailers Association (MRA); Malaysia Association of Hotels (MAH); Malaysia Association of Hotel Owners (MAHO) dan Malaysia Shopping Malls Association (PPK) yang diterbitkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris pada 19 Mei lalu.

“Surat itu bertajuk ‘Permintaan Untuk Badan Pelesenan Tunggal Kutip Royalti Muzik’.

“Sebagai bekas anggota MRM yang dibubarkan, kami menekankan bahawa keputusan untuk menggulung MRM adalah kolektif dan dibuat dengan telus, bukannya tanpa perundingan dengan wakil KPDNHEP dan MyIPO, tidak kira sama ada pada era pentadbiran kerajaan dahulu atau sekarang,” kata kenyataan bersama itu.

Februari lalu, jaminan kerajaan bahawa semua penggiat seni muzik yang terkesan dengan pembubaran MRM sejak dua tahun lalu menerima hak masing-masing, tertunai apabila bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 setiap seorang, dilaporkan selesai diagihkan.

Agihan pertama itu tercapai hasil rundingan berterusan pihak berkepentingan termasuk KPDNHEP dan MyIPO sebagai agensi kerajaan yang memantau badan pelesenan.

Agihan pertama pembayaran royalti ini dimanfaatkan lebih 1,500 penyanyi dan pemuzik rakaman yang menjadi ahli RPM dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang layak.

MACP, RPM dan PPM dalam kenyataan mereka menambah, asas penubuhan MRM sebagai ‘pusat sehenti’ dengan sasaran peningkatan pendapatan dan operasi yang lebih cekap, bagaimanapun berakhir sebagai beban komersial bagi badan pelesenan sedia ada.

“Malah, dua badan pelesenan sedia ada sudah membuktikan prestasi pengurusan kolektif yang berkesan selama lebih 30 tahun,” katanya.

Tiga badan itu menambah, baik MACP, RPM dan PPM, masing-masing mewakili pemegang hak cipta yang berbeza kategori.

“MACP untuk penulis lagu, komposer dan penerbit, PPM bagi label atau syarikat rakaman dan RPM untuk artis rakaman.

“Keadaan ini sama seperti kumpulan persatuan terbabit di mana kami bukannya produk akhir.

“Kami sangat menghormati kebebasan kumpulan persatuan terbabit untuk mempunyai pertubuhan sendiri.

“Kami juga mengharapkan perkara sama daripada mereka terhadap hak perlembagaan ahli kami di bawah organisasi pengurusan kolektif masing-masing,” katanya.

MACP, RPM dan PPM menegaskan kerajaan dan MyIPO sudah membuat keputusan tegas untuk menyelesaikan setiap perselisihan berkaitan pelesenan yang timbul.

“Kami anggap tidak wajar bagi kumpulan pengguna untuk terus memaksa pihak berkuasa untuk kembali menubuhkan badan pelesenan tunggal… Ia pernah diusahakan sebelum ini dan gagal,” katanya.

Tiga badan pelesenan itu menambah, banyak negara di seluruh dunia mempunyai organisasi pengurusan kolektif berasingan mewakili kategori yang berbeza.

“Dengan erti kata lain, entiti tunggal bukan satu-satunya penyelesaian rasional, cekap dan praktikal, seperti yang diperlihatkan di seluruh dunia.

“Ada tiga hak yang terpisah, berbeza dan bukannya satu (tunggal),” katanya.

MACP, PPM dan RPM juga menolak analogi dibangkitkan sembilan persatuan terbabit yang mengambil contoh menaiki kereta dengan mendakwa tidak wajar berunding dan membayar secara berasingan bagi mendapatkan tayar atau enjin kenderaan terbabit.

“Analogi kereta yang digunakan agak kurang tepat. Analogi yang lebih baik adalah bekalan elektrik atau air ke premis komersial kumpulan terbabit.

“Selepas kumpulan terbabit memasang sistem pendawaian atau paip, mereka perlu membuat bayaran elektrik dan air setiap bulan.

“Seperti yang dinyatakan, hak cipta adalah hak milik peribadi. Ini sama dengan pemilikan rumah atau basikal.

“Jika mana-mana anggota kumpulan terbabit didapati memiliki dan menggunakan harta peribadi orang lain tanpa mendapatkan lesen diperlukan, itu adalah tingkah laku yang menyalahi undang-undang.

“Sebenarnya, undang-undang sangat jelas menyatakan bahawa pengguna perlu mendapatkan lesen yang diperlukan sebelum menggunakan,” katanya.

Mengambil kira situasi semasa berikutan penularan COVID-19, MACP, PPM dan RPM mahu terus bekerja, malah, menganggap keadaan cukup kritikal sekarang.

Tiga badan itu menambah, pandemik menjejaskan setiap rakyat Malaysia, termasuk beberapa segmen dalam industri muzik yang teruk menanggung kesannya.

“Justeru, adalah amat kritikal bagi MACP, PPM dan RPM meneruskan usaha pelesenan dan tidak wajar untuk meminta kami menangguhkan kerja serta menawarkan moratarium kepada ahli.

“Bagaimanapun, kami ulangi kesediaan untuk meneroka konsesi khusus dalam suasana ketidaktentuan ini jika diperlukan.

“Kami menerima dan memberi maklum balas sewajarnya terhadap rayuan beberapa pengguna. Kita harus mengharungi detik getir ini bersama,” katanya.

MACP, PPM dan RPM menganggap undang-undang hak cipta sedia ada sudah mencukupi untuk menyelesaikan setiap masalah berkaitan pelesenan.

“Namun, dalam situasi mencabar ini, kami terbuka untuk membincangkan cara meringankan beban pengguna muzik dan anggota mereka bagi mencapai penyelesaian terbaik,” katanya.

Pada mulanya, MRM diwujudkan sebagai sebuah syarikat tidak berasaskan keuntungan yang bertindak sebagai badan pelesenan tunggal menjalankan aktiviti kutipan royalti bagi badan pelesenan sedia ada.

Namun, susulan proses penggulungan syarikat secara sukarela oleh ahlinya, Julai tahun lalu, MRM hilang kelayakan atau mandat di dalam urus tadbir pelesenan muzik.

Berikutan itu, tiga badan pelesenan muzik iaitu MACP; PPM dan RPM masing-masing melakukan sendiri proses kutipan dan agihan royalti.

Sebuah lagi badan yang dahulunya di bawah MRM, Performer’s Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) pula diletakkan di bawah seliaan pelikuidasi, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat