Pencapaian Buruk Di Sukan SEA 2023 Gambaran Tahap Kualiti Sukan – Dr Pekan Ramli

- Advertisement -

Tirai temasya Sukan SEA Kemboja 2023 secara rasmi ditutup malam ini, namun kontinjen Malaysia sudah boleh melupakan misi menggapai 40 pingat emas yang disasarkan pada edisi ke-32 kali ini.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pencapaian buruk itu menggambarkan tahap kualiti sukan Malaysia di rantau Asia Tenggara berbanding Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Menurutnya, Malaysia tidak sepatutnya berada di kedudukan pertengahan carta pingat bersandarkan kepada fasiliti dan kepakaran sukan terbaik, barisan kejurulatihan hebat serta atlet terlatih yang dimiliki.

“Banyak maklum balas yang menggambarkan pencapaian terburuk negara di Kemboja. Rakyat berpuluh juta, fasiliti baik, pusat latihan bagus dan kepakaran sukan, tetapi kita berada di kedudukan bawah. Mana maruah kita?

“Bukan sukan semata-mata, tapi ia adalah maruah negara dan jati diri rakyat. Banyak elemen lain dalam sukan… perpaduan, semangat, kerjasama berpasukan dan kepakaran,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Berdasarkan pungutan pingat pada temasya Sukan SEA kali ini, kontinjen Malaysia dilihat hampir pasti berada berada di bawah kedudukan negara jiran lebih kecil, Singapura buat kali kedua berturut-turut.

Pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa berbanding Singapura di tempat kelima (47 emas, 46 perak dan 73 gangsa).

Pekan memberitahu, setiap pemegang taruh terlibat perlu menerima pencapaian buruk itu secara positif dengan tidak memberi alasan klise, sebaliknya merangka strategi terbaik untuk kembali bergelar gergasi di rantau ini.

“Kita tidak mahu dengar alasan sama seperti rasa tak puas hati kepada tuan rumah, pengadil dan peraturan. Semua sudah tahu dan biasa alami di mana-mana Sukan SEA,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa langkah boleh dilakukan termasuk melakukan audit forensik bagi mencari punca kegagalan, menyediakan blueprint lengkap, transformasi fikiran, penstrukturan persatuan, latihan dan pertandingan.

“Walaupun hanya Sukan SEA kita tidak boleh pandang ringan, positif dan maju ke depan. Malaysia perlu jadi kuasa sukan di rantau ini. Persiapan perlu dilakukan lebih awal kerana dua tahun lagi Thailand jadi tuan rumah dan Malaysia pada 2027.

“Pemilihan atlet juga perlu diberi perhatian kerana pada saya usia 23 tahun sepatutnya sudah menang emas. Hantar juga atlet bawah 20 tahun sebagai pendedahan awal pada Sukan SEA,” jelasnya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat