Tourism Malaysia Lancar Pelan Pemulihan Pelancongan 2022

- Advertisement -

PETALING JAYA – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua dalam usaha merancakkan sektor pelancongan domestik negara seiring Fasa Peralihan ke Endemik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan pemulihan itu adalah kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) dan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

“Inisiatif ini diharap dapat mengembalikan keyakinan untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik serta memaksimumkan sumber sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pelan itu di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Nancy berkata sasaran pelan itu ialah meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia untuk melancong dan berbelanja menerusi pelbagai diskaun pengangkutan darat, udara dan penginapan.

Menurut beliau, pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April lepas melibatkan dua kluster iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

Inisiatif itu bakal diperluas secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema, katanya.

Beliau berkata usaha itu bertujuan menarik minat orang ramai untuk membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

Nancy berkata turut ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi pelan tersebut ialah diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas, bermula 29 April sehingga 31 Okt bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Dis ini.

Katanya, setiap pengguna atau pemegang MyKad layak untuk menebus sekali sahaja diskaun berkenaan dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay.

Selain itu, Nancy berkata dianggarkan seramai 14,925 pengguna bakal menerima manfaat itu dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000.

Beliau berkata di bawah Kluster Pengangkutan Darat pula, Tourism Malaysia menjalin kerjasama strategik bersama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sementara itu, Nancy berkata lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua yang turut dilancarkan hari ini, adalah bersesuaian dengan peningkatan promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia oleh Tourism Malaysia.

Lagu berjudul ‘Menemui Semula’ dinyanyikan oleh artis popular Aina Abdul itu, berkonsepkan pop etnik dengan kombinasi world music, hip hop dan tarian elektronik.

Antara elemen yang terkandung dalam lirik lagu itu ialah menerokai khazanah alam semula jadi, bercuti bersama keluarga serta menikmati pengalaman melancong dalam negara yang kaya dengan keindahan dan destinasi yang boleh diterokai.

Turut dilancarkan ialah aplikasi risalah digital baharu Tourism Malaysia yang boleh didapati di Google Play dan App Store. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat