KUALA LUMPUR – Penyakit mabuk terhadap harta dunia serta pangkat dengan nafsu yang membelakangi iman dan Islam, menjadikan umat Islam semakin lemah dihanyutkan dan dibeli oleh musuh-musuh dengan pemberian rasuah dan dibuli pemikirannya dari dalam dan luar negara, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tambahan lagi katanya, ditipu pula dengan slogan Daulat Tuanku yang telah dirampas kedaulatannya. Kini, pula berslogankan Madani dengan bahasa Arab yang menipu kalangan yang jahil tanpa dibezakan antara Islam dengan jahiliah.
“Amat memalukan, apabila kita meneruskan kerja penjajah dengan menugaskan pentadbiran berjenama jabatan agama Islam negeri untuk mengawal dan mengawasi guru-guru agama, pendakwah dan khutbah Jumaat. Bukannya hendak bertindak terhadap mereka yang telah menghina Islam.
“Berselindung di sebalik undang-undang yang berjenama Islam. Allah melaknat orang-orang Yahudi yang mencipta undang-undang yang salah ini.
“Telah menggerakkan Tuanku Sultan Pahang untuk menyatakan titah secara terbuka, apabila kini tersebar beberapa kenyataan dan tindakan yang berani secara terang-terangan menghina Islam agama yang dimuliakan oleh Allah, agama asal seluruh alam termasuk manusia,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.
Menurut Timbalan Pengerusi PN itu lagi, walaupun kita menegaskan konsep tiada paksaan dalam beragama terhadap penganut berbagai-bagai agama dan ideologi yang lain, namun Islam itu wajib dimuliakan dan dipertahankan oleh seluruh penganutnya.
“Selain itu, meninggikan Islam sehingga dapat memimpin dan mentadbir seluruh manusia kerana kesempurnaannya datang daripada Allah Tuhan semesta alam yang adil terhadap semua. Kesempurnaan sedemikian yang tiada pada agama dan ideologi ciptaan manusia.
“Islam menegaskan konsep kepimpinan Islam, raja dan ketua negara berdaulat berdasarkan Islam yang berkuasa memerintah negara berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau pemimpin berperlembagaan mengikut ketetapan para ulamak dalam kitab-kitab bertulis.
“Malangnya, kita telah ditipu oleh penjajah kerana telah merampas kuasa raja-raja yang diberikan oleh Islam yang dibawa ke negara ini. Kuasa khalifah dan raja-raja bernaungkan Islam telah dirampas oleh penjajah, sehingga meninggalkan urusan ibadat dan adat sahaja. Pada masa yang sama, memberikan kebebasan kepada musuh Islam secara halus.
“Apabila kita telah memperoleh kemerdekaan, diletakkan Islam adalah agama bagi Persekutuan, sepatutnya kita mentafsirkan Islam dengan mengembalikan semula kuasanya mengatasi segala yang lain,” katanya.
Menurut Hadi, akibat tidak melakukan perubahan mengenai kedudukan Islam yang berdaulat, sebaliknya membenarkan demokrasi liberal berkuasa melakukan penentangan terhadap Islam dan umatnya.
“Malah, dilemahkan lagi oleh kefahaman politik yang lemah dalam kalangan Melayu Islam, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu menubuhkan sebuah kerajaan dominasi kumpulan liberal. Khususnya, DAP yang secara terbuka cuba meminggirkan Islam dan kuasa umat Islam dalam perjuangannya, dalam keadaan lemahnya kehebatan Islam
“Keadaan ekonomi hari ini dikuasai oleh kalangan bukan Islam dan pendidikan yang melemahkan umat Islam, serta dirancang strategi politik untuk merampas kuasa Islam.
“Inilah bentuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dapat disaksikan telah melemahkan kehebatan Islam, sehingga keluarnya kenyataan dan tindakan yang berani menghina Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Walaupun dalam keadaan nisbah umat Islam berbangsa Melayu masih majoriti besar, hilang kedaulatan rajanya dan kehebatan politik bangsanya yang menganut Islam,” katanya.