KUALA LUMPUR – Pas menuntut agar kerajaan supaya membuat kajian semula dibuat terhadap keputusan-keputusan kontroversi yang mencetuskan kebimbangan tentang keadilan dan ketelusan dalam sistem perundangan negara.
Menurut Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari ini sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak pernah sesekali campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan badan kehakiman.
Justeru Fadhli menuntut agar kerajaan menghentikan sebarang bentuk campur tangan dalam badan kehakiman dan menjamin kebebasan institusi ini sepenuhnya.
“Mewujudkan mekanisme bebas bagi memantau pelantikan dan perjalanan sistem kehakiman agar tidak berada di bawah pengaruh politik.
“Malaysia perlu dipastikan mempunyai badan kehakiman yang benar-benar bebas dan tidak diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.
“Ini bukan sahaja penting bagi memastikan keadilan ditegakkan (justice is upheld) tetapi juga bagi menjamin kestabilan perlembagaan (constitutional stability) dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” tegasnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam badan kehakiman ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam sekali lagi mengundang pertikaian. Kenyataan ini bukan sahaja bercanggah dengan realiti semasa tetapi juga terang-terang cuba menyembunyikan fakta yang jelas dan terang di mata rakyat.
“Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam beberapa kenyataan sebelum ini telah mengingatkan tentang risiko campur tangan politik dalam pelantikan hakim dan memberi amaran mengenai sebarang usaha untuk mempengaruhi badan kehakiman. Adakah kenyataan Ketua Hakim Negara ini dilontarkan tanpa sebarang asas? Sudah tentu ada ‘elephant in the room’ yang sedang cuba disembunyikan kerajaan.
“Malah, sembilan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka bahawa pentadbiran kerajaan hari ini lebih teruk dalam menghormati kebebasan badan kehakiman berbanding tiga Perdana Menteri sebelumnya.
“Pada 10 Januari 2024, Majlis Peguam dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa “campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman semakin ketara dan membimbangkan,” berikutan beberapa keputusan mahkamah yang mencetuskan kontroversi.
“Pelantikan bekas Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Salleh, sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana badan kehakiman boleh berfungsi dengan bebas tanpa pengaruh eksekutif. Di banyak negara, terdapat tempoh bertenang (cooling-off period) sebelum seseorang yang memegang jawatan eksekutif boleh dilantik ke badan kehakiman. Ini bertujuan memastikan kebebasan institusi kehakiman dan mengelakkan sebarang pengaruh yang tidak wajar. Namun, di Malaysia, peralihan ini berlaku dengan pantas, menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kebebasan kehakiman,” kata Fadhli lagi.
Ujar beliau, lebih membimbangkan, keputusan kerajaan untuk tidak merayu pembebasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan Visa Luar Negara (VLN) menimbulkan persepsi bahawa sistem kehakiman sedang diperalatkan untuk kepentingan politik.
Katanya, sejak awal pentadbiran kerajaan ini, beberapa tindakan telah menimbulkan kebimbangan bahawa badan kehakiman tidak diberikan kebebasan sepenuhnya.
“Antaranya ialah penyelewengan dalam pelantikan kehakiman proses pelantikan hakim yang dikritik kerana tidak mematuhi prinsip ketelusan dan meritokrasi, termasuk pelantikan individu yang berkait rapat dengan pentadbiran kerajaan.
“Penangguhan atau pengguguran kes berprofil tinggi beberapa kes yang melibatkan ahli politik yang bersekutu dengan kerajaan telah ditangguhkan atau digugurkan dengan alasan teknikal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan dalam proses perundangan,” katanya.
Fadhli mengungkapkan, jelas sekali kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman adalah retorik kosong yang tidak selari dengan tindakan sebenar.
“Rakyat berhak mengetahui bahawa kebebasan badan kehakiman tidak boleh hanya sekadar slogan, tetapi mesti dibuktikan dengan tindakan yang benar-benar menghormati doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) seperti yang termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang bentuk campur tangan eksekutif (executive interference) dalam badan kehakiman bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi, malah boleh membawa kepada krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
Anwar semalam berkata, kerajaan tidak pernah sesekali campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan badan kehakiman.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mereka yang dilantik dalam badan itu mempunyai kewibawaan.
Paling penting, katanya, mereka adalah dalam kalangan yang tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan serta rasuah.
“Saya mahu tanya, kes mana yang kita ada campur, keputusan mana saya cakap, bincang dengan hakim, tidak ada.
“Bagi kita, Perdana Menteri tidak boleh kompromi dan tidak boleh terbabit dengan apa-apa kes mahkamah,” katanya.
Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan Majlis Peguam dalam resolusinya pada Sabtu yang mengutuk keras sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif. Ini termasuk badan legislatif atau mana-mana individu serta entiti yang bertujuan mengatasi Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman.
Kata Majlis Peguam, ini selaras dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Resolusi itu juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada Januari lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengawasan perlu dilakukan oleh badan bebas terhadap badan kehakiman bagi menjamin semak dan imbang.
“Saya tidak campur dan ada beberapa proses lain kita bincang. Ini bukan bermakna perdana menteri dan menteri itu betul atau pun hakim semua betul.
“Mesti ada pengawasan, mesti ada semak dan imbang, mesti ada badan-badan (yang pantau badan kehakiman), apakah dia membayar cukai, apakah ada unsur rasuah kerana perkara ini pernah berlaku secara meluas.
“Jadi, setiap perubahan itu harus dilakukan secara berhati-hati,” ujarnya.