JPN kesan 12,996 pemegang KPP

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Susulan kisah kesulitan hidup warga emas, Leong Choong Keong yang masih memiliki kad pengenalan plastik (KPP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa kira-kira 12,996 lagi rakyat negara ini pemegang kad pengenalan lama itu membuat gantian MyKad.

Choong Keong yang tinggal di Salak Selatan, Kuala Lumpur dalam keadaan daif, kali pertama memiliki kad pengenalan pada 1968 ketika berusia 12 tahun dan masih memegang KPP (gantian semasa berusia 18 tahun) sehingga sekarang.

Rentetan kisah yang tular di media sosial itu, penantian lelaki berusia 65 tahun untuk memiliki MyKad baharu berakhir apabila dia menerima sendiri dokumen pengenalan diri tersebut daripada Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Memberitahu Utusan Malaysia, Ruslin berkata, penggantian MyKad versi terkini penting bagi tujuan kemas kini rekod termasuk memastikan pemilik KPP masih hidup atau meninggal dunia selain memudahkan penerimaan bantuan kerajaan.

Pihaknya berdepan kekangan mengesan pemilik KPP kerana ada antaranya sudah bertukar alamat sebagaimana maklumat asal yang terdapat dalam sistem JPN adalah rekod lama.

“Pemilik KPP ini ada antaranya sudah berpindah atau tinggal di luar negara kerana alamat yang direkodkan menerusi KPP sewaktu 1968 sudah bertukar, malah sudah tidak ada perumahan di situ ekoran perubahan pembangunan.

“Jadi ini kekangan kita untuk mengesan, tetapi kita tetap mencari melalui waris dan adik-beradik. Sebab kita nak pastikan orang itu kalau sudah meninggal perlu ada pengesahan kerana kita tidak boleh ‘mematikan’ seseorang itu sewenang-wenangnya dalam sistem tanpa menerima maklumat sahih,” katanya.

Menurut Ruslin, dokumen kad pengenalan diri telah mengalami enam revolusi bermula kad pengenalan (kertas) Tanah Melayu (1948) semasa pemerintahan British dengan maklumat rekod melalui cap jari.

Katanya, kad pengenalan kertas kemudiannya digantikan dengan KPP pada 1960 juga melalui pengambilan cap jari dan sistem maklumat pengkomputeran hanya bermula pada 1990.

Beliau memberitahu, dokumen pengenalan diri rakyat negara ini seterusnya ditukarkan pula kepada versi kad pengenalan bermutu tinggi 1990 (bunga raya pertama) dan kad pengenalan bermutu tinggi 1999 (bunga raya kedua – berwarna) dan kemudiannya digantikan kad pengenalan pelbagai guna kerajaan (MyKad) atau kad pintar pada 2001 dan dikeluarkan versi terbaharu MyKad 2012.

“Kita akan mengesan pemilik KPP ini secara berterusan iaitu baki 12,996 lagi pemegang KPP yang masih belum tukar, namun tidak bermakna orang ini masih hidup. Kita nak mencari untuk tujuan pengesahan, sekiranya kematian berlaku.

“Ini kerana sebelum ini pendaftaran kematian tidak dibuat melalui Permit Mengubur yang mana keperluan ini diwajibkan hanya pada 2011. Mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), setiap kematian perlu dilaporkan ke balai polis dan maklumat itu terus diterima JPN,” katanya.

_utusanonline_

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat