KUALA LUMPUR – Kemunculan syarikat minyak negeri Sarawak iaitu Petroleum Sarawak (PETROS) ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan
kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, maka adalah satu kewajaran dimeterai permuafakatan agar tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak dan memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan PETROS selanjutnya.
Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PETRONAS dan PETROS akan bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri Sarawak dan segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus.
“Walhasil, dengan menekuni semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui perkara berikut iaitu mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai Akta Persekutuan seperti yang tertera dalam peruntukan undang-undang; menyambut aspirasi negeri Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di Sarawak dan hasrat dijelmakan melalui Distribution of Gas Ordinance 2016 (DGO) dan berkuatkuasa pada 1 Mac 2025. DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974, maka, PETROS berperanan sebagai agregator di Sarawak.
“Peranan tersebut tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada PETRONAS dan anak-anak Syarikat. Ini bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan antarabangsa yang sedia ada.
“Selain itu, PETROS di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kakipadu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya. PETROS juga berwewenang meluaskan kegiatan yang baru dan memanfaatkan kerjasama dengan PETRONAS,” jelas Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan memberikan pencerahan bahawa PETRONAS telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri.
Ujarnya, bagi maksud penjelasan ini ,beliau akan memberikan tumpuan kepada Sarawak.
“Manfaat pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak merangkumi pelaburan huluan (upstream investment) dan infrastruktur berjumlah melebihi RM280 bilion sejak 1976.
“Daripada jumlah pelaburan huluan tersebut, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak yang dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas (2014-2024) sahaja. Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak telah mendapat kontrak melebihi RM40 biliion dalam tempoh yang sama. Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak telah menerima: Bayaran Tunai (Cash Payment) sebanyak RM49 bilion (sehingga Disember 2024); Bayaran Cukai Jualan (Sales Tax) sebanyak RM18.66 bilion (sehingga suku ketiga 2024); dan Dividen sebanyak RM28.6 bilion (sehingga Disember 2024) telah diperolehi melalui pegangan saham State Financial Secretary of
Sarawak (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG. SFS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948,” katanya.
Menurut Anwar lagi, PETRONAS juga telah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak.
Kata beliau, sepanjang 10 tahun yang lalu lebih RM600 juta telah pun dibelanjakan untuk pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan dan lebih 680,000 orang warga Sarawak telah mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik serta lebih 4,300 warga Sarawak pula mendapat peluang pekerjaan di dalam PETRONAS.
“Sayugia diingat bahawa bahawa hasil mahsul besar yang diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana PETRONAS sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Ini semua berkat negeri Sarawak Bumi Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan PETROS untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan negara dan negeri Sarawak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan di PETRONAS dan Jemaah Menteri yang bersetuju dan Premier Sarawak serta Kerajaan Negeri Sarawak kerana kerjasama yang diberikan sepenuhnya,” katanya.
Anwar menambah, negara telah membangunkan prakasa utama dalam rangka menjana industri petroleum dan gas dengan memperkenalkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat.
Kata beliau lagi, PETRONAS memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai di antara gergasi di dalam industri petroleum dunia malah muncul sebagai di antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.