KUALA LUMPUR – Kebanyakan rakyat berpendapat bahawa darurat dan ‘lockdown’ yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan untuk melawan Covid-19 atau membantu rakyat tetapi bagi menghalang beliau ditumbangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) masa itu boleh kekal berkuasa.

Dakwaan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beliau malah turut membidas Muhyiddin yang mengaku telah berbelanja RM600 bilion.

Kata Najib keadaan negara kita di bawah #kerajaangagal menjadi semakin parah sehingga membawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengeluarkan titah bersama agar kerajaan tamatkan darurat dan menggunakan pendekatan baharu untuk melawan Covid-19 dan menjaga ekonomi negara.

Beliau memetik Raja-Raja Melayu sependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2020.

Jelas Najib kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan penerokaan baru hingga berjaya meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

“Saya terbaca laporan semalam di mana PM8 cuba memberi justifikasi bagi melaksanakan darurat dan cuba mempertahankan rekod pengendalian Covid-19 semasa dia Perdana Menteri.

“Saya ingin memberi beberapa fakta iaitu Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang gantungkan Parlimen dengan alasan melawan Covid-19. Cuba sebut satu negara yang berbuat demikian. Negara kita dalam darurat dan parlimen digantung hampir sepanjang tempoh dia PM pada tahun 2021 lepas iaitu dari 1 Jan sehingga dia henti pada 20 Ogos 2021.

“Akibat langkah-langkah separuh masak di mana kilang-kilang dan tapak pembinaan dibenarkan beroperasi tetapi perniagaan kecil dan rakyat biasa dikurung, tempoh lockdown Malaysia adalah paling lama di dunia.

“Akibat PKP 2.0 (13 Jan- 5 Mac) dan PKP3.0/Total lockdown/PPN (12 Mei-20 Ogos), rakyat telah dikurung selama 153 hari daripada 232 hari pada tahun 2021 sehingga dia henti sebagai Perdana Menteri.

“Biarpun dikurung begitu lama, rekod kes Covid-19 dan kematian Covid-19 kita adalah paling teruk di ASEAN dan antara paling parah di dunia pada tempoh tersebut,” catat Najib di Facebooknya pada Isnin.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi dalam tempoh itu, kenaikan kes Covid-19 bagi setiap 1 juta penduduk adalah berikut yakni Malaysia: 42,715; Indonesia: 13,590; Filipina: 10,074; Thailand: 14,194 manakala Singapura: 1,431.

Najib mengemukakan kenaikan kematian Covid-19 bagi setiap 1 juta penduduk pula merekodkan Malaysia: 404 (789 jika ambil kira tunggakan yang disorok); Indonesia: 368; Filipina: 197; Thailand: 125 dan Singapura: 3.

“Lebih mengejutkan ialah selepas dia berhenti sebagai Perdana Menteri, negara diberitahu bahawa terdapat banyak kematian Covid-19 yang tertunggak dan tidak dilaporkan.

“Akibat “back-log tersebut”, jumlah kumulatif kematian Covid bagi setiap 1 juta penduduk hampir lonjak berganda dari 418 nyawa pada 20 Ogos ke 789 nyawa pada akhir bulan September.

“Dalam tempoh tersebut itu juga, kadar kes Covid dan kematian Covid setiap hari kita adalah antara paling tinggi dalam dunia,” kata Najib.