KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) memperkenalkan tujuh pemacu perubahan bagi menggandakan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara inisiatif yang dikenal pasti termasuklah agihan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan kepada enam negeri kurang
membangun, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Beberapa isu dan cabaran yang masih memberi kesan kepada pertumbuhan wilayah dan negeri adalah termasuk tumpuan berlebihan kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah; insiden kemiskinan yang masih tinggi; ekosistem sokongan yang tidak mencukupi dan penerimagunaan teknologi yang rendah selain itu liputan telekomunikasi dan jalur lebar yang masih kurang.

“Justeru, beberapa strategi utama telah dikenal pasti untuk mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah iaitu menarik pelaburan berkualiti; menambah baik ekosistem perniagaan; mempercepat penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan; mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi; mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar dan mengurangkan insiden kemiskinan; dan mempertingkat pembangunan koridor ekonomi wilayah bagi mempercepat pembangunan sosioekonomi dan mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dan negeri,” katanya.

Mustapa memberitahu usaha ini dapat dicapai melalui pembangunan berasaskan nod pertumbuhan utama dan kawasan titik tumpuan dengan menumpukan kepada beberapa aktiviti ekonomi yang terpilih.

Ulas beliau lagi langkah untuk menarik pelaburan berkualiti, terutama di wilayah yang kurang membangun akan dipergiat dan ekosistem
perniagaan akan terus ditambah baik. Negeri juga akan digalakkan untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio ekonomi.

“Dalam hubungan berkaitan, program pembangunan strategik pada peringkat wilayah dan negeri akan dilaksana melalui inisiatif yang dipacu oleh kerajaan negeri dan projek yang diterajui oleh sektor swasta.

“Selain itu, kerjasama yang lebih baik dengan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuklah dengan Pihak Berkuasa Koridor akan terus diperkukuh.

“Kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sektor swasta akan mewujudkan sinergi dan ekosistem pembangunan yang komprehensif dan bersepadu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan yang lebih seimbang,” jelasnya.

Menurut Mustapa bagi melonjakkan kemampanan, Kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Koridor disaran untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perancangan pembangunan dan pelaburan.

Tambah beliau, pembangunan rendah karbon dan berdaya tahan hendaklah dipertingkat sebagai usaha untuk mengurangkan risiko bencana.

“Peralihan kepada ekonomi kitaran perlu dipergiat bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

“Manakala usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara hendaklah diteruskan. Kerajaan akan menambah baik mekanisme ecological fiscal transfer (EFT) bagi menyokong usaha kerajaan negeri memelihara kawasan hutan,” kata beliau.

Di samping itu menurut beliau, bagi mewujudkan sinergi pembangunan yang bersepadu dan menangani keperluan pembangunan wilayah secara menyeluruh, pembangunan di lima koridor ekonomi wilayah akan terus diberi perhatian.

“Peranan Pihak Berkuasa Koridor akan dilibatkan dalam mempercepat pembangunan strategik di wilayah untuk mencapai pembangunan wilayah
yang lebih seimbang dan inklusif.

“Tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan projek yang berimpak tinggi untuk menarik pelaburan berkualiti di wilayah. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang akan mengurangkan jurang sosio ekonomi rentas wilayah dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Peranan semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa koridor amat penting. Kerjasama erat yang berterusan dengan Kerajaan Persekutuan akan menyumbang kepada usaha pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mustapa menambah RMK12 dijajarkan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan.

Ujarnya ia merupakan pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam melaksanakan pembaharuan.

“Pada tahun 2020, ekonomi negara telah menguncup akibat krisis kesihatan yang turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri dan Wilayah.

“Dalam tempoh RMKe-11, 2016-2020, KDNK per kapita nasional meningkat sebanyak 2.9 peratus setahun. Namun begitu, wujud pengagihan yang tidak seimbang antara negeri.

“Wilayah Persekutuan dan lima negeri mencatat KDNK per kapita melebihi purata nasional, sebanyak RM43,475 pada tahun 2020 dengan WP
Kuala Lumpur merekodkan pencapaian tertinggi sebanyak RM121,100. Selain itu, Kelantan, Sabah, Kedah dan Perlis mencatat KDNK per kapita yang rendah berikutan kebergantungan yang tinggi kepada sektor berasaskan komoditi.

“Kelantan mencatat KDNK per kapita terendah berjumlah RM14,096 dengan jurang sebanyak 67.6 peratus di bawah purata nasional,” katanya.

Jurang pembangunan antara wilayah juga terus melebar dengan Wilayah Tengah menyumbang sebanyak 46.9 peratus kepada KDNK Nasional.

“Dalam tempoh RMKe-11, KDNK Wilayah Tengah berkembang sebanyak 3.7 peratus setahun, melebihi purata nasional 2.7 peratus setahun manakala Wilayah Timur pula berkembang sebanyak 2.3 peratus setahun.

“Wilayah Tengah juga mencatat KDNK per kapita tertinggi sebanyak RM63,028 pada tahun 2020 iaitu 2.5 kali lebih tinggi berbanding Wilayah Timur sebanyak RM25,070,” katanya.

Tegas Mustapa RMK12 memberi tumpuan kepada usaha menangani ketidakseimbangan sosiocekonomi dan menggalakkan pertumbuhan yang saksama antara wilayah.

“Penekanan khusus kepada pembangunan wilayah iaitu usaha telah dikenalpasti untuk mempercepat pembangunan yang lebih inklusif bagi negeri dan wilayah, serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan,” katanya.