Banjir Babitkan Kerugian RM5.3 Hingga 6.5 bilion

KUALA LUMPUR – Kerugian keseluruhan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini membabitkan kerugian antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasil kajian menyeluruh dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meliputi kerosakan tempat kediaman RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion; premis perniagaan RM500 juta hingga RM600 juta; kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion; pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta; pembuatan RM800 juta hingga RM1 bilion; dan aset awam dan infrastruktur RM2 bilion.

“Baru-baru ini, banjir besar telah melanda beberapa negeri termasuklah Lembah Klang. Dalam merasai dugaan yang dihadapi ini, kerajaan melalui Jabatan
Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir.

“Sehingga ini, dapatan kajian menunjukkan anggaran kerugian keseluruhan adalah di antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion,”dalam majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 pada Isnin.

Menurut Mustapa RMKe-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil
yang lebih saksama.

” Antara lain, tumpuan akan diberi kepada menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

“Berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang diterbitkan pada 6 Ogos 2021, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus kepada RM7,089 pada tahun 2020 berbanding RM7,901 pada tahun 2019.

“Penurunan ini disebabkan oleh kehilangan atau pengurangan pendapatan isi rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk
menangani pandemik COVID-19,” ujarnya.

Tambah beliau, pada masa yang sama, kedudukan pasaran tenaga buruh Malaysia juga terjejas teruk berikutan krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Ujar Mustapa kadar pengangguran mencatat 4.5 peratus pada tahun 2020, iaitu tertinggi dalam sejak tahun 1993, di mana sebelum ini kadar pengangguran negara sentiasa berada di bawah 4 peratus.

“Walau bagaimanapun, pasaran buruh beransur pulih pada tahun 2021, disokong oleh peralihan ke fasa Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan
lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi.

“Pada masa ini, semua negeri telah pun beralih ke Fasa keempat Pelan Pemulihan Negara. Kadar pengangguran telah menurun kepada 4.3 peratus pada bulan November 2021,” katanya.

Melalui Data Banci Malaysia 2020 ini Mustapa memaklumkan, kajian mengenai taburan pendapatan, pendapatan isi rumah, disparity dari segi ekonomi, kemudahan asas, migrasi yang menyebabkan anak muda keluar ke bandar serta kesan kepada sektor konomi seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dicerap dan dicerna dengan lebih holistik.

Dalam pada itu untuk rekod nisbah jantina menunjukkan 106 orang lelaki bagi setiap 100 wanita di Malaysia.

Selain itu, penduduk paling tua yang direkodkan dalam Banci kali ini ialah 120 tahun bagi lelaki dan 118 tahun bagi wanita.

Mustapa menambah menyentuh berkenaan Data Raya (Big Data) merupakan satu ledakan informasi yang seiring dengan pertumbuhan ekosistem penggunaan mobile dan data Internet.

“Pelbagai jenis data daripada sistem dan peranti seperti sensor dan IoT (Internet of Things), media sosial seperti blog, facebook, twitter, video CCTV dan sebagainya telah menyokong pertumbuhan Data Raya yang besar.

“Perkembangan fenomena Data Raya dan ketersediaan teknologi telah mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang kepada agensi kerajaan dan swasta bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Atas keperluan ini, Pusat Analitik Data Raya Negara atau NBDAC perlu diwujudkan bagi menyokong hasrat Kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan keputusan berlandaskan analitik data, selaras dengan inisiatif Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” ujarnya.

Mustapa memberitahu pewujudan NBDAC membolehkan maklumat diproses secara pantas, real time dan tepat. Oleh itu, keputusan dapat dibuat dengan cepat, tepat dan berkesan.