Kerajaan Salur RM1.299 Bilion Program PenjanaKerjaya Bagi Kekalkan Pekerja Tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM1.299 bilion secara keseluruhan kepada 38,651 majikan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) bagi mengekalkan 284,354 pekerja tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata setakat 3 Dis, sebanyak 15,097 majikan dan 116,316 pekerja telah menerima manfaat PenjanaKerjaya 1.0 yang telah mencapai nilai RM639.30 juta.

Katanya melalui PenjanaKerjaya 2.0, sebanyak RM589.42 juta telah disalurkan sebagai insentif pengambilan pekerjaan yang telah memanfaatkan 16,648 majikan dan 138,659 pekerja manakala sebanyak RM68.96 juta telah berjaya disalurkan yang memanfaatkan 6,906 majikan dan 29,379 pekerja melalui PenjanaKerjaya 3.0.

“Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 bilion pada 2022.

“Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-79 yang dikeluarkan pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Katanya kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan juga akan meneruskan usaha Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi tahun 2022 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 bilion yang menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan.

Bagi Program Subsidi Upah (PSU), katanya secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM19.453 bilion kepada 357,102 majikan bagi mengekalkan penggajian 2.95 juta pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Katanya melalui PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaatnya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) apabila permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.955 bilion setakat 3 Dis lepas.

Bagi PSU 2.0, di bawah Pakej Kita PRIHATIN pula, katanya sejumlah RM1.403 bilion telah disalurkan kepada 81,015 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 715,896 pekerja setakat 3 Dis lepas.

“Bagi PSU 3.0, setakat 3 Dis lepas, sebanyak RM3.467 bilion telah disalurkan untuk mengekalkan penggajian 1.52 juta pekerja manakala sebanyak RM2.067 bilion telah disalurkan kepada 134,851 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1.62 juta pekerja di bawah PSU 4.0 setakat 3 Dis lepas,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) di bawah PRIHATIN yang menyediakan kemudahan Skim Jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan modal kerja telah dimanfaatkan oleh 58 buah syarikat dengan jumlah jaminan yang telah diluluskan sebanyak RM2.055 bilion.

Katanya kini sebanyak 11 bank turut terlibat dalam skim ini, antaranya Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan lain-lain. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat