KUALA LUMPUR- Sebanyak 47 sindiket yang didapati terlibat dengan isu ‘counter setting’ berjaya ditumpaskan setakat Oktober 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, seramai 1,285 ahli sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditangkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi lain susulan tumpasnya sindiket tersebut.
Menurutnya, Jabatan Imigresen juga memperketatkan pemeriksaan di kaunter pintu masuk ke negara dalam usaha membanteras kegiatan menyeludup warga asing ke Malaysia.
Hasilnya, kata beliau, sehingga September tahun ini, seramai 25,214 warga asing dikenakan notis Not To Let (NTL) atau nota penolakan masuk.
“Yang bertugas di kaunter imigresen ini, kita tingkatkan pemantauan, kesediaan ke atas mereka. Kita pertingkatkan rondaan, kita pantau melalui CCTV di bilik kawalan.
“Penyelia buat lawatan mengejut ke kaunter-kaunter ini dan pegawai kita yang bertugas di kaunter ini juga, kita tidak benarkan dia bawa alat telekomunikasi.
“Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan ‘body search’ ke atas mereka.
“Bukan sekadar mereka dikenalkan NTL di pintu masuk, bahkan Imigresen juga sudah pun mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum daripada pengembara ini pergi ke kaunter Imigresen,” katanya.
Tambah Saifuddin, hasil daripada rondaan tersebut, setakat September tahun ini, seramai 6,694 orang pengembara telah disekat daripada masuk kerana pelbagai alasan.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN – Kota Bharu) yang mahu tahu tindakan kerajaan dalam membanteras isu ‘counter setting’ yang tular baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, inovasi teknologi merupakan antara jalan terbaik bagi menangani isu tersebut.
Jelasnya, Imigresen kini sedang di peringkat akhir dalam menyediakan teknologi saringan awal pengembara dan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi audio di kaunter pemeriksaan.
“Inovasi teknologi adalah jalannya. Imigresen sekarang di peringkat akhir, dua perkara. Yang pertama kita sedang proses memuktamadkan perolehan bagi sistem saringan awal penumpang, disebut Advance Passenger Screening System.
“Sistem ini membolehkan Imigresen membuat saringan awal bagi pengembara yang melakukan perjalanan ke Malaysia.
“Belum pun mereka sampai, kita dah ada akses terhadap senarai mereka, membolehkan kita membuat pemeriksaan awal.
“Kita juga sekarang di fasa akhir untuk menaik taraf kamera litar CCTV yang dilengkapi audio dan visual di kaunter pemeriksaan,” ujarnya.