Bekas Panglima TLDM Dituduh Pecah Amanah Dana LCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada 2010 dan 2011, di Mahkamah Sesyen hari ini.

Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Lapor BH, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Semua kesalahan itu dilakukan di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead,Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan sebat serta denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Akram kemudian memohon tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000.

“Syarat tambahan tertuduh dijamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan. Kami juga menawarkan 24 November ini untuk tarikh sebutan kes kerana pihak pembelaan memaklumkan mahu menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Wan Shaharuddin.

Susulan itu, Mohd Yusof berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan pasukan pendakwaan.

“Saya juga mengesahkan mengenai surat itu untuk menyemak semula kes berkenaan” katanya.

Hakim kemudian bersetuju dengan jumlah ikat jamin, syarat tambahan dan tarikh ditawarkan pihak pendakwaan.

Mahkamah tetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

Terdahulu, Ahmad Ramli yang memakai kot hitam dan berkemeja putih tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

Beberapa pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.45 pagi untuk merakam video serta gambar bekas pegawai kanan itu.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehari sebelum itu, Jemaah Menteri meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik serta Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan
(JKSTUPKK).

Selain itu, MINDEF perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan dan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat