KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diperdaya menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery oleh KWAP dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
“Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor BH.
DealStreetAsia melaporkan, KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.
Perdana Menteri menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP, berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.
Anwar berkata, langkah tegas dari segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsortium pelaburan termasuk KWAP.
Katanya, KWAP sudah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
“Susulan perbincangan itu, tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi.
“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Langkah penambahbaikan sudah dilaksanakan yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.
Dalam menarik pelaburan antarabangsa, syarikat pemula niaga eFishery itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi, yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.



