KUALA LUMPUR- Proses rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan Barisan Nasional (BN) berada dalam pengetahuan dan kebenaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri dalam kenyataan pada Khamis berkata, oleh itu dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin bahawa ia dibuat tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN adalah tidak berasas.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, segala perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak pada peringkat awal telah dijalankan dengan pengetahuan serta kebenaran.
“Proses berkenaan telah dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini.
“Bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN yang akan diumumkan hari ini adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya,” katanya menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Samsuri memberitahu, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan antara parti komponen PN telah dimuktamadkan selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi.
“Mesyuarat berkenaan turut meluluskan pembahagian kerusi DUN Negeri Sembilan antara parti anggota PN iaitu Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Mesyuarat turut bersetuju membenarkan penggunaan lambang PN oleh calon-calon PN dalam PRN Negeri Sembilan seperti yang telah dipersetujui,” katanya.


