Dr Musa Nordin Menegak Benang Basah ‘SElangkah’

- Advertisement -

Tindakan Datuk Dr Musa Mohd Nordin tampil mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia atas peningkatan kes sangat melucukan.

Pertama ia sangat melucukan kenyataan ini terhasil dari jawapan Dr Musa kepada seorang penulis Facebook bernama Mohd Faisal. Saya anggap melucukan kerana jawapan tersebut terlalu mempertahankan diri akibat kritikan rakyat di media sosial.

Kedua, banyak penyimpangan fakta yang mengelirukan rakyat telah diutarakan oleh Dr Musa.

Antaranya Dr Musa mendakwa “tindakan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghentikan perkongsian data pandemik Covid-19 dengan semua negeri sejak September tahun lalu menyebabkan pandemik ini semakin tidak terkawal.”

Sebagai bekas penasihat sudah tentu Dr Musa perlu mempertahankan bekas sekutunya yang kini menjadi Pengerusi Selangor Task Force Covid-19  (STFC),nya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. (Para ini dikemaskini berikutan penafian Dr Musa bahawa beliau mempunyai sebarang kaitan dengan STFC walaupun pujian melambung beliau terhadap SElangkah menunjukkan seolah-olah beliau mempunyai maklumat yang mendalam mengenai aplikasi tersebut).

Dakwaan KKM menghentikan perkongsian data Covid-19 dengan Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak benar.

Setiap hari Pejabat Kesihatan Negeri Selangor akan membentangkan status harian kepada Jawatan Kuasa Bencana Negeri Selangor. Menteri Besar Selangor juga berada dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19.

Jika data yang dimaksudkan segala butiran peribadi pesakit dan keluarga sudah tentulah KKM tidak boleh berkongsi dengan sebuah Task Force bersifat politik. Dalam isu Kesihatan, tanggungjawab adalah kepada kerajaan Persekutuan. Isu kerahsiaan data peribadi dan kesihatan juga harus diutamakan.

Dr Musa seterusnya mendakwa  Kerajaan lebih mengutamakan aplikasi MySejahtera dan menghalang apliksasi kerajaan negeri Selangor bernama Selangkah dari melakukan ‘contact tracing’.

Tampak Dr Musa tidak faham dalam urusan kesihatan ia merupakan di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Kementerian Kesihatan. Kerajaan Negeri tidak sepatutnya cuba mensabotaj keadaan ini.

Bagaimanpun KKM tampak bukan sahaja terbuka kepada kritikan malah membenarkan STFC terus beroperasi dan mengambil kesempatan mempolitikkan pelbagai isu.

Dr Musa mendakwa “SELangkah merupakan aplikasi QR-based Visitor Log yang pertama diguna di negara ini untuk kesan kontak (contact tracing). Ia diguna semenjak 5 Mei 2020. MySejahtera QR Tool (dikenali sebagai MySejahtera Check In) hanya bermula pada 2 Jun 2020.”

Betul SElangkah adalah aplikasi pertama yang diperkenalkan. Namun pada peringkat awal SElangkah tiada ciri-ciri pengesanan kontak rapat Covid-19. SElangkah hanya bermula sebagai QR Tool untuk pendaftaran masuk premis menggunakan nama dan no telefon sahaja.

Ini diakui sendiri oleh Dr Musa apabila menulis pada Februari 2021, “Only by using the patient’s phone number, SELangkah algorithm can sift through millions of records to create a list of “probable close contact”, ranked by importance.”

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud juga dilaporkan berkata, tiada data peribadi lain yang akan disimpan kecuali nama dan nombor telefon.

Persoalannya bagaimana mereka akan melakukan ‘tracing’ jika nama dan nombor telefon yang diberi tidak benar?

Manakala MySejahtera apabila diperkenalkan mengkehendaki pengguna mendaftar butiran peribadi yang lengkap termasuk alamat dan nombor kad pengenalan bagi membolehkan pengesanan kontak lebih cepat dan pantas.

Data peribadi dalam sistem ini juga kemudiannya disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa bagi memudahkan pengesanan kontak dan sekarang program vaksinasi.

Oleh  kerana MySejahtera merupakan sistem yang digunakan di seluruh negara, tiada sebab Selangor terus mempertahankan sistem mereka. Malahan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP lebih bijak membatalkan sistem mereka  PGCare dan bersama menggunakan MySejahtera.

Semua orang boleh melihat tindakan Selangor berterusan menggunakan SElangkah hanya berdasarkan ego politik dan kepentingan komersial, bukan kepentingan rakyat. Jika ia demi kepentingan rakyat pasti satu sistem lebih mudah berbanding dua.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa tindakan menggunakan dua aplikasi ini boleh menyebabkan MySejahtera tidak dapat mengenal pasti kontak positif dari sesebuah premis di Selangor dan Kuala Lumpur dengan cepat. Ini kerana sebahagian orang mendaftar masuk menggunakan SElangkah.

Tidak perlu sesorang menjadi doktor atau mempunyai Ijazah untuk mengetahui adalah tidak efektif untuk seluruh negara kecuali Selangor mempunyai satu sistem dan Selangor menggunakan sistem lain.

Dr Musa juga menulis, “Semenjak Sep 2020, MySejahtera merupakan ekosistem kesan kontak di Selangor. Lonjakan kes-kes COVID yang tinggi mendadak di Selangor selepas MySejahtera mengambil alih, menunjukkan bahawa KKM gagal melakukan kesan kontak yang cepat dan berkesan.”

Sebenarnya sepanjang pandemik ini kerja-kerja pengesanan kontak rapat Covid-19 dilakukan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan. Selangor Task Force tiada kakitangan, data mahu pun kuasa untuk melakukan pengesanan kontak rapat.

Inilah sikap STFC yang mempunyai kecenderungan meraih nama bila berjaya dan menunding jari kepada KKM bila bermasalah.

Malah tahun ini lebih melucukan. Sejak beberapa bulan lalu, STFC mengadakan ujian saringan secara besar-besaran tanpa perancangan yang jelas. Mereka membuat saringan sukarela dalam komuniti tanpa pelan untuk memutuskan litar penularan.

Mereka menjemput orang ramai membuat saringan di komuniti tertentu. Ramai yang datang dari pelbagai komuniti berlainan. Mereka antara 200 – 500 orang dalam satu komuniti 10,000 orang.

Walaupun keadaan ini membantu mengenal pasti mereka yang positif Covid, namun ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah penularan. Ia sekadar menambah statistik dan memberi gambaran palsu.

Esok mereka yang negatif ini bercampur dengan ahli komuniti lain yang mungkin positif. Tidak mustahil yang negatif hasil ujian semalam, akan positif dalam tiga hari lagi. Dalam masa yang sama yang negatif ini masih percaya ia negatif lalu menjangkiti orang lain pula.

STFC menghabiskan berjuta ringgit untuk saringan rambang tanpa ada idea bagaimana hendak memutuskan penularan. Apakah niat mereka sekadar menguntungkan penjual kit ujian?

Saringan besar-besaran harus kepada kumpulan sasar, jika tidak ia membazir sumber dan tenaga. Jika ada seribu orang dalam kawasan tersebut maka ia harus diuji seribu orang. Mereka yang positif diasingkan dari yang negatif dalam masa yang sama. Barulah ia boleh memutuskan litar penularan dalam komuniti tersebut.

Malangnya, Selangor melaksanakan saringan komuniti  secara sukarela mengikut siapa hendak datang. Mereka ini datang dari pelbagai kawasan, hasil keputusan hanya memberi data yang tidak lengkap dan mengelirukan.

Kebanyakan, saringan di Selangor dibuat di bawah pokok, bukan mengikut situasi sebenar suhu saringan iaitu “room temperature”. Pengendalian sampel saringan yang dibuat oleh Selangor tidak didedahkan kepada umum. Bila saringan banyak, maka kes akan naik namun ada juga berlaku “false result” bila ujian kedua PCR dilakukan.

Malahan tidak nampak usaha jelas STFC dalam menangani isu kluster kilang di Selangor. Tidak ada satu penyelesaian yang tuntas yang dibuat padahal semua rakyat Malaysia tahu banyaknya kes ini dulu berpunca dari kluster kilang di Selangor. Kenapa Dr Musa tidak cadangkan dibuat ujian berkala di semua kilang yang beroperasi di Selangor?

Jika Dr Musa juga lupa STFC juga antara yang membantah sebarang cadangan PKP tahun ini dengan alasan pandemik ini terkawal.

Pada 21 Mei 2021, STFC menegaskan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ dalam tempoh terdekat kerana kes di negeri itu masih lagi terkawal.

Tindakan mahu berbeza degan pihak berkuasa kesihatan negara sangat tidak praktikal dan merugikan sumber yang ada.

Seeloknya STFC dibubarkan kerana ia hanya menambah kekeliruan rakyat dan pentadbiran. Kenyataan-kenyataan STFC lebih kepada hendak menunjuk siapa lebih hebat bukan untuk menyelesaikan masalah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat