UMNO, PAS Tolak Hasrat SUHAKAM Kaji Perundangan Iktiraf Golongan Transgender

- Advertisement -

PETALING JAYA – Umno dan PAS senada menolak hasrat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk melaksanakan penyelidikan mengenai keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebagai badan yang dianggotai pemikir, SUHAKAM perlu meneliti dan mengkaji isu lebih penting yang berkait dengan situasi politik semasa antaranya hak suara Ahli Parlimen ketika Parlimen digantung.

Malah katanya, badan pemikir itu dilihat gagal menyuarakan pendiriannya berhubung krisis kemanusian di Palestin yang disifatkan lebih penting berbanding isu transgender yang cuba diketengahkan.

“Malaysia bukan tempat untuk mengkaji atau membuka ruang perkara tersebut. Tidak perlu lagi dibincangkan. Lupakan perkara itu.

“Mana suara SUHAKAM mengenai isu di Palestin? Mana pendirian mereka atau kajian mengenai isu itu? Ini sepatutnya yang perlu diutamakan SUHAKAM kerana seluruh dunia melihatnya,” katanya kepada FMT.

Justeru beliau, yang juga pendakwah bebas, meminta kerajaan menilai semula kesesuaian topik yang dibawa SUHAKAM dan mahu suruhanjaya itu tidak menormalisasikan perkara yang tidak perlu.

“Ini adalah diskriminasi idealisme, saya minta kerajaan kaji semula “relevancy” idea yang dibawa oleh SUHAKAM. Mereka perlu fikir benda yang bijaksana sesuai dengan tuntutan dan keadaan semasa dalam negara,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi FMT mendesak SUHAKAM membatalkan tawaran kajian mengenai jantina ketiga yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

“Topiknya adalah mengiktiraf jantina ketiga. Jika ia dilaksanakan dan terus dibahaskan sudah tentu memberi banyak mudarat kepada ummah,” katanya.

Kamaruzaman berkata, tawaran kajian bertajuk “Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia” disifatkan sebagai percubaan ke arah mengiktiraf perbuatan luar tabii golongan transgender, iaitu amalan yang bertentangan dengan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Terdahulu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta SUHAKAM menjelaskan projek penyelidikan yang dijalankannya mengenai perundangan untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Ini susulan hantaran suruhanjaya berkenaan di media sosial mencari penyelidik untuk mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu itu.

Menurut SUHAKAM, projek penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat