Israel Pernah Tuduh Malaysia Beri Latihan Ketenteraan Kepada Hamas Palestin

- Advertisement -

CYBERJAYA – Agensi Perisikan Israel, Shin Bet pada 2014 pernah mendakwa Malaysia memberi latihan ketenteraan kepada rakyat Palestin terutama anggota Hamas untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa terhadap Israel.

Jerusalem Post dalam laporan pada Julai 2014 yang memetik kenyataan agensi perisikan Israel berkata, perkara itu didedahkan oleh seorang pejuang Hamas yang berjaya ditahan.

“Shin Bet (Agensi Sekuriti Israel) berkata suspek tersebut merupakan seorang komander sebuah unit Hamas yang berjaya ditahan di Khan Younis.

“Pejuang itu memberitahu para penyiasat bahawa latihan yang diterimanya adalah sebahagian daripada persiapan Hamas untuk menentang Israel di Semenanjung Gaza.

“Pejuang itu dikatakan menyertai Hamas pada tahun 2007 dan menjadi ahli sayap ketenteraannya yang bernama Izzadin Kassam.

“Dia dilaporkan ke Malaysia pada 2012, di mana dia dan sembilan anggota Hamas lain menjalani latihan menerbangkan payung terjun berkuasa.

“Shin Bet berkata pejuang Hamas itu menyertai unit rizab Hamas pada tahun yang sama dan telah ditugaskan untuk operasi-operasi khas.

“Pada tahun 2013, pejuang Hamas itu menyertai unit elit dan menerima senapang Kalashnikov untuk dibawa bersamanya pada setiap masa.

“Dia kemudian dilatih menggunakan senapang M-16, bom tangan roket dan bom lain.

“Pejuang-pejuang tersebut juga telah diajar bagaimana untuk menculik askar dan cara peperangan dalam terowong.

“Shin Bet berkata pejuang Hamas itu dijadualkan untuk melatih pejuang lain dalam kemahiran pertempuran bulan ini,” lapor Jerusalem Post, dipetik dari laporan Awani pada 31 Julai 2014.

Pemimpin Kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi bagaimanapun menafikan tuduhan Shin Bet bahawa Malaysia melatih anggotanya untuk melancarkan serangan rentas sempadan.

Jelas Dr Khaled, ia cubaan rejim Zionis Israel mengolah propaganda untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan tuduhan Israel, beliau sebaliknya menjelaskan hubungan dan kerjasama dengan Palestin merupakan hubungan diplomatik, perdagangan, dan kebudayaan sahaja.

“Malaysia juga merupakan penyokong kuat pejuang Palestin dari segi moral dan bantuan kemanusiaan.

“Sokongan padu rakyat Malaysia ini adalah kerana hubungan baik antara pemimpin Malaysia dan Palestin yang telah terjalin sekian lama dan ada kemungkinan ini menyebabkan pihak Israel tidak berpuas hati,” kata Ahmad Zahid, yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO.

Tuduhan Israel itu menyusul kira-kira setahun selepas Datuk Seri Najib Razak melakar sejarah sebagai Perdana Menteri pertama menjejakkan kaki di bumi Palestin menerusi misi lawatan kemanusiaan pada Januari 2013.

Ketibaan Najib ketika itu disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, di kawasan sempadan, selepas beliau menempuh perjalanan darat sejauh 55km dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.

Dalam lawatan itu, Najib turut menawarkan bantuan bagi mendamaikan kumpulan Hamas dan Fatah demi kepentingan Palestin.

“Sekiranya diperlukan, kita bersedia untuk menawarkan anda manfaat daripada pengalaman itu.

“Malaysia, sentiasa bersahabat dengan orang Palestin, bersedia untuk membantu memudahkan rancangan perdamaian dengan apa cara yang boleh kita lakukan.

“Kami berhasrat untuk melihat kemerdekaan, penyatuan Palestin, keamanan dan keselamatan yang mana semua orang di dunia ini berhak menikmatinya,” kata Najib, ketika berucap selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh Universiti al-Aqsa di Timur Jerusalem.

Menerusi ucapan itu juga, Najib turut berkongsi keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong dan membantu Palestin.

“Ini adalah rakyat saya yang keluar menawarkan bantuan, yang memberi apa yang mereka boleh untuk membantu rakyat di sini, yang sentiasa memikirkan rakyat Palestin yang tidak berdosa setiap kali berlakunya keganasan di sini,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang berada di Doha, Qatar menghubungi beliau semalam, memaklumkan mengenai situasi semasa di Palestin.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat