KUALA LUMPUR – Infrastruktur Malaysia menjadi faktor utama daya tarikan pelabur Jepun ke negara ini,” kata Duta Besarnya, Takahashi Katsuhiko.

Jelasnya, pandemik dan pergolakan politik di negara ini tidak menjejaskan daya tarikan Malaysia kepada pelabur Jepun malah Katsuhiko menyifatkan Malaysia salah satu destinasi pelaburan utama di rantau ini untuk pelabur.

“Mungkin ada yang berpendapat negara ASEAN lain pantas mengejar untuk menjadi destinasi pelaburan, tetapi saya boleh katakan infrastruktur Malaysia masih menjadi antara tarikan terbesarnya,” katanya memetik FMT.

Katsuhiko berkata, terdapat banyak faktor yang membolehkan Malaysia menarik pelaburan dari Jepun secara konsisten yang kini berjumlah RM80.8 bilion sejak hubungan diplomatik mula dijalin lebih 60 tahun lalu.

“Kami dapati sistem birokratik Malaysia agak kukuh dan konsisten. Sudah tentu, terdapat sedikit perubahan dari segi politik, tetapi hubungan kerajaan kepada kerajaan kekal teguh dan kukuh.

“Malah ketika pandemik, aliran masuk pelaburan Jepun berterusan dan kita tidak melihat sebarang penurunan, ini mengagumkan,” katanya sambil menjelaskan RM4.5 bilion disalurkan ke Malaysia setakat September tahun ini.

Ketika pandemik, katanya, kepakaran Malaysia dalam bidang logistik serta pembuatan produk elektrik dan elektronik kekal penting dalam rantaian bekalan Jepun.

Pada 2020, Jepun merupakan pelabur ketiga terbesar Malaysia dan rakan dagang keempat terbesar.

Sambil menangkis keraguan mengenai kedudukan Malaysia di Asia Tenggara, beliau berkata, tahap pendapatan di Malaysia adalah tinggi berbanding negara ASEAN lain yang menyebabkan banyak syarikat Jepun cuba menjadikan Malaysia lapangan ujian untuk melihat sama ada barangan atau produk mereka mempunyai tarikan kepada penduduk ASEAN secara amnya.

Jepun antara rakan global terbesar Malaysia sejak hubungan diplomatik terjalin antara kedua-dua negara pada 1957. Sekitar 1,500 syarikat Jepun membuka operasi mereka di sini dengan mengambil hampir setengah juta pekerja.

Katsuhiko turut menyuarakan hasrat melihat bidang pelaburan berkembang lagi selepas melihat perkembangannya melangkaui industri petroleum dan getah sejak awal hubungan diplomatik itu sehingga kini yang termasuk pemain dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta teknologi digital.