10 bulan Muhyiddin dalam ‘tawanan’ rakan kerjasama politik

- Advertisement -

CYBERJAYA: Selepas 10 bulan mentadbir negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti gagal mentadbir negara malah lebih parah apabila beliau kini menjadi tawanan oleh rakan kerjasama politiknya, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.

Adly berkata, Muhyiddin tidak berupaya membuat keputusan bagi memastikan politik negara stabil, ekonomi pulih dan Covid-19 dapat diperangi.

“Ini kerana niat beliau hanya untuk berkuasa, khianati perjanjian bertulis, membeli wakil rakyat dan lakukan sogokan politik melalui GLC.

“Setelah berjaya berkuasa selama hampir 10 bulan, negara kekal dengan krisis politik, ekonomi dan Covid 19, malah lebih buruk,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, krisis politik yang berlaku ketika ini sekali gus menatijahkan pertukaran kerajaan negeri di Perak sehingga undi percaya menjadi tidak percaya.

“Ini termasuk usul undi tidak percaya di kalangan wakil rakyat kerajaan di parlimen. Rakan kerjasama politik menikam dari belakang.

“Perdana Menteri gagal menyatukan Melayu Islam. Penyatuan menjadi retorik,” katanya.

Beliau berkata, krisis ekonomi negara semakin tenat sehingga menekan rakyat.

“Krisis ekonomi tidak perlu diceritakan, semua orang merasainya, haiwan dalam zoo pun terasa,” katanya.

Tambahnya, kegagalan pentadbiran Muhyiddin juga menyaksikan krisis
Covid- 19 menjadi lebih parah.

“Kalau dulu beratus kes setiap hari sudah dikira ngeri, sekarang beribu kes setiap hari sudah dikira biasa. Macam-macam prosuder operasi standard (SOP) pelik termasuk menghadiri sidang dewan rakyat dengan memakai PPE (dibenarkan).

“Selepas 10 bulan, negara hilang kawalan, kemaruk kuasa politik sesama pemimpin Melayu Islam makin membarah.

“Sehingga sesetengah pemimpin itupun sudah tiada kepastian dia menyertai parti apa dan dia terlibat dalam gabungan mana, PN, MN atau BN, pening,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini rakyat memang terabai dan negara hilang fokus sekali gus menyebabkan pelabur hilang keyakinan.

“Perdana Menteri sentiasa dalam tawanan rakan politik dan pendakwaan rasuah berakhir dengan pembebasan.

“Krisis ekonomi dan Covid-19 berpaksi kepada kestabilan politik negara, ia tentang kepimpinan yang mampu membuat keputusan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan negara mesti dipulihkan, tidak boleh melalui proses ‘beli membeli’ kesetiaan yang akhirnya menjadi tawanan dan ketakutan kehilangan kuasa.

“Masa belum terlambat untuk kita membetulkan keadaan. Semoga wakil rakyat di dewan rakyat kembali membetulkan hala tuju kepimpinan negara dilandasan yang jelas.

“Berpadu untuk negara dan bebaskan Perdana Menteri yang ditawan dengan tunjukkan jalan keluar pintu hadapan. Saya doakan yang terbaik buat Malaysia,” katanya .

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat