Jangan ‘berani’ masuk Perlis Raya Haji nanti – MB, Ketua Polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menjelang Hari Raya Aidiladha minggu depan, Menteri Besar dan Ketua Polis negeri ini memberi amaran kepada orang luar `jangan berani-berani’ masuk Perlis yang kerap merekodkan sifar kes jangkitan Covid-19.

Susulan kejayaan Perlis menguruskan wabak tersebut menarik perhatian netizen membuat jenaka seperti `Rasa mahu pindah ke Perlis’.

Perlis kini berada pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan semalam merekodkan tiga kes ketika angka jangkitan terus melonjak kepada 11, 618 kes.

Memetik Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sekatan pergerakan rentas negeri bagi penduduk negeri itu dan negeri lain lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidiladha adalah formula negeri ini berjaya menyekat kes Covid-19.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius soal tersebut kerana kebanyakkan jangkitan sebelum ini adalah disebabkan orang luar yang pulang ke Perlis.

“Mana-mana individu yang pulang ke Perlis atas urusan penting, wajib mematuhi SOP. Perlis kerap catat sifar kes dan setakat ini kes kumulatif 611 kes dengan angka mati lapan kes.

“Sebagai contoh, saya mengambil situasi seorang isteri yang suaminya mempunyai urusan kerja di Kuala Lumpur iaitu zon merah.

Pesan isteri itu kepada suami, kekal dahulu di Kuala Lumpur dan jangan pulang lagi. Itu antara situasi yang menggambarkan bagaimana rakyat Perlis begitu mengambil berat soal pematuhan SOP ini,” kata beliau.

Selain itu, Azlan memberitahu, proses vaksinasi di negeri itu juga lancar dengan sehingga kini, bilangan keseluruhan penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua adalah 78,938 individu atau 30.96 peratus daripada keseluruhan populasi iaitu 254,900 orang.

Manakala status pendaftaran untuk menerima vaksin sebanyak 144,552 orang merangkumi 56.70 peratus dengan jumlah tersebut terus menunjukkan peningkatan saban hari.

“Program vaksinasi di Perlis tinggi mencapai lebih 30 peratus. Kita menjadi antara negeri tertinggi di belakang Kuala Lumpur dan Putrajaya yang paling ramai rakyat menerima suntikan vaksin,” kata Azlan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mana-mana individu yang terpaksa pulang ke Perlis atas urusan penting atau kecemasan mereka tetap wajib mematuhi SOP.

“Kita tidak mahu akibat kemasukan individu dari luar ini akan menggugat keselamatan penduduk keseluruhan di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad pula berkata, pihaknya mengetatkan kawalan di sekatan jalan raya (SJR), lorong-lorong tikus, sempadan serta laluan laut menerusi Op Benteng laut bagi mengelak kemasukan tanpa kebenaran mana-mana individu ke negeri ini khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Manakala, pemeriksaan pematuhan SOP akan terus dipertingkatkan melalui advokasi dan tindakan kompaun. Saya harap rakyat Perlis tidak alpa dan terus kekal mematuhi SOP bagi mengekalkan Perlis terkeluar daripada ancaman Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, antara formula kejayaan Perlis membendung wabak adalah melalui perancangan awal, keputusan tepat serta tindakan pantas oleh kerajaan negeri dalam mengawal jangkitan wabak berkenaan.

Selain itu, katanya, langkah membuka operasi pusat kuarantin di Dewan 2020 di sini bagi pengasingan individu disyaki dijangkiti Covid-19 seawal Mac tahun lalu secara pantas tanpa banyak birokrasi turut memberi banyak impak kepada kawalan penularan wabak tersebut di Perlis.

“Malah diakui, kawalan kendiri dalam kalangan rakyat negeri ini yang cukup peka terhadap pematuhan SOP sehingga mencapai tahap 97 peratus turut membantu mengekang penularan Covid-19.

“Selain itu, kebanyakan industri di negeri ini juga didapati patuh arahan, malah salah sebuah kilang mempunyai sistem pengasingan pekerja warga asing yang sangat sistematik.

“Pekerja telah diasingkan berdasarkan kewarganegaraan mengikut lokasi dan warna baju. Jadi bila ada jangkitan, mereka dapat mengasingkan pekerja dengan pantas dan berkesan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat