Banyak Negara Laksana PdPR Bagi Bendung Covid-19 – Mah Hang Soon

- Advertisement -

PONTIAN: Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon menyatakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut dipraktikkan di negara lain dalam usaha membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Dr. Mah Hang Soon, kemampuan negara-negara tersebut termasuk Malaysia melaksanakan PdPR membuktikan kaedah itu adalah fleksibel walaupun tidak pernah dipraktikkan sebelum pandemik Covid-19.

Katanya, kejayaan itu telah menyakinkan ibu bapa bahawa PdPR atau pembelajaran hibrid iaitu gabungan antara kaedah dalam talian dan bersemuka, akan menjadi trend masa depan dengan disokong oleh kemajuan bidang teknologi.

Bagaimanapun beliau mengakui, akan berlaku ketidaksamarataan disebabkan faktor seperti kekurangan peranti atau capaian internet yang terhad yang boleh melebarkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Keadaan seperti ini yang kita tidak mahu kerana akses kepada pendidikan berkualiti merupakan hak asasi setiap pelajar tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya ketika melancarkan program Tuisyen Online SPM Percuma secara maya Sekolah-Sekolah Menengah di Parlimen Tanjung Piai di sini hari ini.

Turut sama menyertai pelancaran tersebut, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Zaidi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Leslie Ng Chie Shean dan Pengurus Besar Kanan BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.

Tambah Hang Son, kerajaan sentiasa mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut dan berusaha membuat penambahbaikan kepada pelaksanaan PdPR supaya semua pihak berpeluang mengikutinya dengan berkesan.

“Misalnya, baru-baru ini kerajaan telah menjalin kerjasama dengan Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. dalam usaha mempercepat pelaksanaan 5G bagi membolehkan matlamat liputan 80 peratus penduduk dapat dicapai menjelang 2024,” katanya.

Oleh itu katanya, Kementerian Pendidikan juga memperkenalkan Didik TV KPM iaitu saluran khusus TV Pendidikan sejak Februari lalu untuk memperkayakan pembelajaran pelajar.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan Program Tuisyen Online SPM Percuma yang menggabungkan kerjasama wakil rakyat, Pejabat Pendidikan, sekolah serta tajaan sektor swasta bagi manafaat 1,500 orang pelajar.

Sementara itu, Jeck Seng berkata, program tersebut melibatkan sembilan buah sekolah menengah, sebuah sekolah menengah agama dan sebuah kolej vokasional di Tanjung Piai.

Program itu merangkumi 17 mata pelajaran dalam silibus tingkatan empat dan lima bagi memudahkan pelajar membuat ulang kaji dengan mengakses video pengajaran pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka.

“Pelajar harus memanfaatkan masa lapan bulan yang berharga ini dan bijak menggunakan medium ini sebagai wadah melakukan persiapan pecutan terakhir bagi menghadapi peperiksaan SPM kelak,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.-UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat