Kuasa siapa lulus tayangan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bimbang apa yang didakwa berlakunya pertindihan kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri berhubung isu pengharaman filem kontroversi, Pulau di Terengganu, bulan lalu, boleh memberi kesan buruk kepada proses pemulihan industri perfileman yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Presiden PFM, Pansha, berkata pihaknya musykil siapa yang sebenarnya berkuasa dalam membenarkan tayangan filem di pawagam, susulan keputusan kerajaan negeri Terengganu melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), melarang tayangan filem Pulau di negeri itu.

“PFM kecewa dengan apa yang berlaku dan terpanggil untuk bertanya siapa sebenarnya berkuasa dalam membenarkan tayangan filem di pawagam.

“Dalam isu filem Pulau, Lembaga Penapis Filem membuat keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) iaitu wajib dengan suntingan termasuk klasifikasi P13 untuk Pulau ditayangkan di pawagam.

“Namun, keputusan LPF tidak dihormati PBT (pihak berkuasa tempatan), malah memberi arahan kepada pawagam mengharamkan tayangan filem Pulau tanpa sebab,” katanya dalam kenyataan.

Bulan lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilapor mengekalkan keputusan mengharamkan tayangan filem Pulau di Terengganu selepas menonton trailer filem berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata kerajaan negeri sedia memberi ruang kepada penerbit filem Pulau, Fred Chong untuk mengemukakan rayuan.

Terdahulu, Chong dilaporkan sedia bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor susulan keputusan kerajaan negeri mengharamkan tayangan filem Pulau di negeri itu.

Chong dilaporkan mendakwa kerugian hampir RM500,000 apabila penaja menarik tajaan selepas trailer filem Pulau ditayangkan Januari lalu.

Kontroversi tercetus apabila netizen mempersoalkan bagaimana filem arahan Euho itu lulus tayangan selepas menonton trailer yang dimuat naik di YouTube.

Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah ada yang mengklasifikasikan filem Pulau sebagai naskhah ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan.

 

Pansha musykil siapa yang sebenarnya berkuasa dalam membenarkan tayangan filem di pawagam, susulan keputusan kerajaan negeri Terengganu melalui MBKT dan MPK melarang tayangan filem Pulau di negeri itu.
Pansha musykil siapa yang sebenarnya berkuasa dalam membenarkan tayangan filem di pawagam, susulan keputusan kerajaan negeri Terengganu melalui MBKT dan MPK melarang tayangan filem Pulau di negeri itu.

 

Filem Pulau mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara, Khamis lalu.

Pansha berkata, pihaknya kesal PBT tidak menghormati keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang meluluskan filem Pulau di bawah Skim Wajib Tayang untuk dipertontonkan di pawagam.

“Secara langsung, ini melanggar peruntukan Akta 244 yang membuatkan pawagam keliru arahan siapa yang perlu dipatuhi,” katanya.

Pansha berkata, PFM tidak mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu kerana kurang jelas arahan pengharaman tayangan dibuat peruntukan undang-undang atau dasar tertentu.

“Apa yang kami jelas, kerajaan negeri Terengganu mengutip hasil 25 peratus cukai hiburan melalui PBT daripada penjualan tiket di pawagam.

“Ini termasuk sama ada filem tempatan atau luar negara yang lebih terbuka dengan tidak mengira klasifikasi yang diluluskan LPF,” katanya.

Pansha berkata, PFM difahamkan, penerbit filem Pulau berkali-kali cuba berbincang dan mengundang wakil kerajaan negeri Terengganu menghadiri sesi pratonton filem Pulau, namun dakwanya, tidak dilayan.

“Pengharaman tayangan filem Pulau tidak diberi apa-apa sebab dan arahan tidak dibenar tayang hanya kepada pawagam.

“Ini juga menunjukkan berlakunya pertindihan arahan atas kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu.

“Adakah kerajaan negeri Terengganu akan bertanggungjawab atas kerugian pendapatan penerbit di Terengganu atas keputusan pengharaman itu?” katanya.

Pansha berkata, PFM khuatir keputusan dibuat menjejaskan persepsi penerbit atau pelabur luar negara yang berhasrat mengusahakan projek yang dapat membantu meningkatkan industri perfileman tempatan.

“Sehubungan itu, PFM memohon perhatian dan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu menyelesaikan isu ini dan memulihkan semula ekonomi industri perfileman tempatan yang teruk terkesan akibat COVID-19,” katanya.

Terdahulu, kontroversi filem Pulau menarik perhatian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang dilapor menggesa LPF mengkaji semula kelulusan tayangan filem terbabit.

Filem Pulau mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat