Enggan parti kalah jadi kerajaan, Dr Mahathir desak segerakan akta anti lompat parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka hari ini menyokong dan menggesa kerajaan Persekutuan segera menggubal undang-undang anti lompat parti.

Kata bekas Perdana Menteri itu, mereka yang lompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat dan untuk mengembalikan kerusi DUN atau Parlimen ia perlu melalui proses pilihan raya kecil (PRK).

“Kita perlu ada undang-undang anti-lompat (parti). Mereka yang lompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat. Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan.

“Terpulanglah kepada rakyat sama ada memilihnya atau orang lain. Jika rakyat setuju dengannya, beri kemenangan kepadanya maka jatuhlah kerajaan pilihan rakyat. Jika ia dikalahkan, maka kerajaan pilihan rakyat akan kekal,” katanya dalam catatan di blognya pada Selasa.

Dr Mahathir menegaskan, jika rakyat bosan dengan politik memberi kemenangan besar kepada calon anti-rasuah maka pintu belakang tidak boleh diguna untuk tukar kerajaan.

Sebaliknya kata beliau, jika kemenangan puak anti-rasuah tipis maka keadaan tidak menentu dan percubaan memasuki pintu belakang akan berulang.

“Sama ada negara kita dapat dipulih semula atau tidak, terpulang kepada rakyat yang sayang kepada negara dan ingin lihat perasuah dan penyangak dikalahkan.

“Hanya dengan menyokong (mengundi) secara besar-besaran calon-calon yang bersih dari kluster mahkamah sahaja barulah kita akan selamat,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Dr Mahathir membangkitkan desakan undang-undang anti lompat parti dalam catatan bertajuk “Bosan” yakni beliau sedar bahawa rakyat sudah bosan dengan politik.

Ujarnya, pengundi telah pilih kerajaan melalui pilihan raya tetapi kerajaan pilihan rakyat ini dijatuhkan bukan mengikut sistem demokrasi tetapi melalui lompatan oleh wakil rakyat ke sebelah parti yang kalah.

Dengan itu kata Dr Mahathir, parti yang kalah menjadi kerajaan.

“Soalnya apa guna rakyat pilih kerajaan jika ia boleh dijatuhkan dan diganti dengan pihak yang ditolak oleh rakyat. Apa gunanya Pilihan Raya Umum (PRU) jika pilihan rakyat boleh diganti tanpa PRU oleh mereka yang ditolak oleh rakyat.

“Di kalangan mereka yang kecewa dan bosan dengan politik yang menidakkan hak rakyat, mungkin timbul pendapat bahawa PRU tidak berguna. Mereka mungkin membuat keputusan tidak mengundi.

” Malangnya jika mereka tidak mengundi, parti yang mereka tidak sokong iaitu parti perasuah dan yang terlibat dengan mencuri duit kerajaan, salah guna kuasa akan menang kerana pengikut mereka ini akan mengundi mereka setelah disogok dan akan terdirilah kerajaan perasuah pencuri dan penyalahguna kuasa.

” Maka akan mengeluhlah pengundi yang tidak mengundi kerana keadaan sudah jadi lebih buruk. Tetapi jika mereka undi pun, melalui pintu belakang perasuah dan pencuri masih boleh jatuhkan kerajaan pilihan mereka dan diri kerajaan yang ditolak oleh mereka,” jelas beliau.

Pada September lepas, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta agar Rang Undang-Undang anti lompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin memandangkan amalan lompat parti bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi juga terhadap parti politik yang berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika pilihan raya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat