CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menyatakan keyakinannya mengenai kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tumbang esok.
Menurut beliau lagi, jika itu berlaku bermakna beliau akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi dengan sokongan Ahli Parlimen (MP) pelbagai parti.
“Ada kemungkinan esok, bila undian untuk bacaan ketiga belanjawan, ada kemungkinan kerajaan akan kalah.
“Saya harap mereka yang berada di parlimen akan tidak memikirkan diri mereka sendiri, tetapi memikirkan tentang negara.
“Saya harap cadangan kita ini akan tercapai, jika wakil rakyat dalam dewan memberi kepercayaan.
“Jika semua ahli parlimen sokong saya, saya jadi perdana menteri esok,” katanya, dalam sidang media khas bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh, hari ini.
Dr Mahathir turut menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga adalah bekas Perdana Menteri Ke-6.
“Dengan Datuk Seri Najib saya tidak boleh kerjasama. Saya minta maaf, saya dijemput untuk menjadi Perdana Menteri sebelum Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri lagi.
“Saya kata kepada mereka satu kerajaan yang bergantung kepada Datuk Seri Najib untuk jadi kerajaan bukanlah satu benda yang saya boleh terima.
“Tapi Muhyiddin kata dia boleh terima. Dia ambil lah,” ujarnya.
- Najib Punca Kerajaan PH Tumbang, Kata Mahathir
- Dr Mahathir Hantar Gopal Ram Jumpa Saya, Sudah Atur Rancangan Kenakan Najib – Bekas AG
- Mahathir Kecewa Warisan Kalah, Tetap Namakan Shafie Apdal Calon PM
Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan sekiranya beliau menerima bekas Perdana Menteri keenam itu, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri dan tidak akan melepaskan jawatannya.
Dr Mahathir turut mendakwa, kerajaan pimpinan Muhyiddin sekarang tidak ada strategi dan tiada dasar bagi membela rakyat sebaliknya hanya terlibat dengan politik termasuk untuk kepentingan diri sendiri.
“Tak ada satu strategi untuk memulihkan ekonomi negara dan juga untuk menangani masalah Covid-19.
“Kami harap kami akan dapat sokongan bagi menjayakan idea ini,” katanya.