KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) memaklumkan tidak pernah mengarahkan Peguam Negara dan bekas Peguam Negara hadir ke prosiding jawatankuasa itu bagi memberi keterangan.
Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya hanya menjemput Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Tan Sri Idrus Harun untuk turut terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan bagi menjelaskan beberapa isu berhubung percanggahan kuasa, terutama membabitkan kes berprofil tinggi.
“JKPK ini atas dasar ketulusan, hanya akan menjemput mereka untuk turut terlibat dalam mesyuarat JKPK ini.
“Kami menghormati kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Undangan kepada mereka adalah untuk membantu JKPK memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutama berkaitan kes berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu tidak menyebut secara khusus berkenaan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan 47 pertuduhan ke atasnya sebelum ini.
Kelmarin, di tengah-tengah pertengkaran pembangkang di Dewan Rakyat mendesak supaya Yang Dipertua, Tan Sri Johari Abdul membenarkan membahas perkara itu, Jee Keen dalam celahannya memberitahu ‘akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan’.
Penjelasan yang disebut itu adalah apa yang dianggap pembangkang sebagai penjelasan daripada Peguam Negara berhubung kes mahkamah Ahmad Zahid.
Kata Jee Keen, satu laporan akan dibentang kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja selesai prosiding jawatankuasa itu nanti.
“Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Tan Sri Idrus Harun (bekas Peguam Negara) untuk memberi penjelasan,” katanya.
Baru-baru ini, Johari menolak usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bagi memberi laluan kepada Peguam Negara menjelaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid.
Bagaimanapun, Johari berkata, beliau akan memberi ruang kepada pembangkang untuk bercakap mengenai hal itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai berucap mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli parlimen pembangkang diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendesak supaya usul itu diterima dan dibahas.
Dalam sidang media pembangkang sebelum ini, mereka mendakwa Johari tidak mengotakan janjinya yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ untuk berbincang mengenai usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal.
Bagaimanapun, Johari menjelaskan ‘ruang dan peluang’ yang dimaksudkan kepada pembangkang untuk bercakap mengenai kes Ahmad Zahid di Dewan Rakyat tidak terhad kepada tempoh waktu tertentu.
Beliau berkata, kesemua ahli parlimen masih mempunyai baki beberapa hari sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat untuk menyentuh perkara itu. – Utusan