Imigresen Tumpaskan Sindiket Pasport Palsu Didalangi Warga Bangladesh

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Putrajaya menumpaskan rangkaian sindiket pasport palsu dalam operasi khas di Selangor, 10 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, berdasarkan risikan selama dua bulan, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di Lembah Klang.

Beliau memberitahu, bermula 9 Julai lalu, satu serbuan dijalankan ke atas premis kediaman di Cheras , Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai tempat untuk membuat dokumen palsu.

Dalam serbuan tersebut, katanya, dua lelaki warganegara Bangladesh dan wanita warganegara Monggolia ditangkap kerana terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen.

“Siasatan lanjut membongkarkan satu lagi rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi lelaki Bangladesh. Pada 10 Ogos lalu, serbuan dilakukan ke atas sebuah premis kediaman di Jalan Klang Lama, Selangor.

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki Bangladesh ditahan dan pasukan menjumpai sembilan pasport Bangladesh palsu, empat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, seunit komputer riba, sebuah mesin pencetak dan pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu.Turut disita adalah sebuah kereta Nissan Sentra milik suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, suspek yang berusia 39 tahun didapati tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan menggunakan PLKS dalam sektor perkhidmatan.

Katanya, suspek dipercayai mula menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen sejak setahun lalu. Dengan mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala bagi satu naskhah pasport palsu sebanyak RM100.

“Suspek dipercayai mampu mengaut keuntungan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil daripada jualan dokumen palsu terbabit dan semua hasil keuntungan dihantar ke Bangladesh,” ujarnya.

Tambah Khairul Dzaimee, modus operandi yang digunakan ialah suspek menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ‘teksi sapu’ dan giat mencari pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, suspek akan menawarkan kepada pelanggannya pelekat PLKS palsu serta pasport palsu.

“Kebanyakan warga Bangladesh yang membeli pasport palsu adalah bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Ini kerana majikan takut mengambil pekerja asing yang tiada pasport,” katanya.

“Suspek ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas PLKS. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM30, 000 dan penjara tidak kurang lima (5) tahun serta boleh dikenakan tidak lebih 6 sebatan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan berkaitan dengan Covid-19 dan suspek dihantar untuk menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Putrajaya.

“Hasil keputusan ujian adalah negatif. Oleh itu suspek telah di tahan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat