Pasaran Saham Di Seluruh Dunia Jatuh Menjunam

- Advertisement -

NEW YORK – Pasaran saham di seluruh dunia sekali lagi menjunam, dengan Wall Street secara rasmi terjerumus ke dalam pasaran penurunan apabila pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah lebih agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) untuk menangani inflasi.

Pasaran global bergolak selepas data harga pengguna terkini Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan, dengan bitcoin jatuh ke paras terendah dalam tempoh 18 bulan, dolar melonjak lebih tinggi dan harga minyak mencatatkan turun naik dengan ketara.

“Keresahan yang timbul daripada bacaan inflasi AS lebih tinggi di luar jangkaan terus menyebabkan kelukaan ke seluruh pasaran, kerana ia memadam harapan bahawa Fed akan dapat memperlahankan sedikit langkah untuk menaikkan kadar faedah,” kata Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould.

S&P 500, indeks ekuiti meluas Wall Street, menjunam 3.9 peratus untuk mengakhiri dagangan pada 3,749.53, jatuh lebih 20 peratus daripada kemuncak terkini 4 Januari lalu, sekali gus menjerumuskannya ke dalam pasaran penurunan.

Bursa saham di Paris, Frankfurt, Tokyo dan Hong Kong semuanya jatuh sekurang-kurangnya dua peratus.

Laporan pada Jumaat lalu menunjukkan harga pengguna melonjak 8.6 peratus berbanding Mei 2021, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, sekali gus melebihi jangkaan dan memusnahkan harapan bahawa tekanan harga telah mencapai tahap kemuncak.

Fed dua hari sebelum itu telah memberi isyarat rancangannya untuk melaksanakan kenaikan besar kedua kadar faedah sebanyak 0.5 mata peratusan.

Namun, lebih banyak pandangan yang menjangkakan kenaikan sebanyak 0.75 peratus.

Barclays berkata, langkah lebih agresif diperlukan untuk meningkatkan kredibiliti dan mendepani tekanan inflasi.

“Kebimbangan itu menyebabkan hasil nota Perbendaharaan AS 10-tahun, proksi bagi kadar faedah, berada di atas 3.3 peratus, paras tertinggi dalam tempoh lebih 11 tahun.

“Pasaran kini sedang memikirkan mengenai Fed meningkatkan kadar faedah dengan mendadak untuk mengatasi inflasi dan kemudian perlu menurunkannya semula apabila pertumbuhan merosot,” kata penganalisis SPI Asset Management, Stephen Innes. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat