Ganti Makanan Ternakan Import Dengan Pelepah Sawit, Hampas Kelapa – Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR – Strategi ekosistem sekuriti makanan yang direncanakan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) boleh ditambah baik dengan menggantikan makanan ternakan import kepada sumber tempatan misalnya pelepah sawit dan hampas kelapa.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai mengemukakan cadangan itu bagi membantu kerajaan bergantung maksima kepada produk makanan ternakan import seperti jagung dan kacang soya dengan sumber gantian tempatan.

“Pendapat saya strategi EAC boleh ditambah baik. Maksudnya strategi sekuriti makanan perlu dilihat kepada jangka pertengahan dengan penggantian import sumber makanan ternakan dengan produk tempatan.

“Makanan ternakan lazimya kita import jagung dan kacang soya, kita boleh kurangkan import dengan sumber tempatan yang kaya fiber dan protein. Pelepah sawit kaya dengan fiber dan karbohidrat, kita juga ada hampas kelapa sawit dan hampas kelapa.

“Sumber-sumber tempatan ini kaya protein, fiber. Jika kita manfaatkan sumber sedia ada ini, kita boleh kurangkan import makanan haiwan,” katanya ketika dihubungi Suara.TV pada Selasa.

Menurut Barjoyai dengan pengurangan kebergantungan kepada sumber import ini, harga pengeluaran ayam akan turun dan sekali gus merendahkan harga ayam di pasaran.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga boleh menggalakkan tanaman kobis dan bawang merah memandangkan dua jenis produk ini antara paling tinggi jumlah importnya.

“Negara kita banyak import kelapa muda, tembikai dan betik. Kita boleh kurangkan import dengan sumber buah-buahan tempatan.

“Kobis dan bawang merah kita boleh tanam sendiri. Lihat contoh dulu kita import halia, kini kita ada ladang halia berkualiti tinggi di Bukit Tinggi, Pahang,” jelasnya.

Kata Barjoyai lagi, dengan langkah kerajaan memansuhkan permit import (AP) terhadap bahan makanan jika dinilai dari kesan jangka pertengahan ia strategi berbahaya.

“Permintaan terhadap USD akan meningkat, sebab semua import dalam mata wang USD, ia akan terus melemahkan nilai Ringgit Malaysia (RM) kita, pertukaran kita semakin lemah,” ujar beliau.

Selain itu, Barjoyai juga mencadangkan agar orang ramai mengurangkan aktiviti makan di luar.

“Kurangkan keluarga belanja makan di luar iaitu restoran makanan segera atau mamak, kerana rutin ini akan menyebabkan permintaan import yang tinggi.

“Data menunjukkan import makanan meningkat daripada 11 peratus kepada 40 peratus. Elak makan di luar, masak sendiri,” katanya.

kredit foto: Astro Awani