Nafas dan Angkasa akan bantu kerajaan ternak ayam untuk kestabilan bekalan, harga -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu beliau telah bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

Kerajaan menyambut baik inisiatif Nafas dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

“Nafas menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.

“Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam,” ujar Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa.

Hal demikian bagi tujuan berkenaan, Ismail Sabri mengummkan bahawa Nafas telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

Manakala katanya, Angkasa telah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.

“Usaha Nafas dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam.

“Saya yakin Nafas dan Angkasa berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan. Ini kerana Nafas mempunyai seramai 1 juta ahli, manakala 7 juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga memberitahu, Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Pada masa yang sama, langkah proaktif Nafas dan Angkasa ini juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat